PERGADUHAN antara anggota Parlimen Turki semalam, menyebabkan dua orang cedera.  - AFP
PERGADUHAN antara anggota Parlimen Turki semalam, menyebabkan dua orang cedera. - AFP

Ankara: Sekurang-kurangnya dua anggota Parlimen wanita cedera selepas pergaduhan meletus antara penyokong dan pengkritik rang undang-undang pembaharuan perlembagaan yang akan menambahkan kuasa Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Mereka yang cedera ialah anggota Parti Demokratik Rakyat, parti pembangkang yang pro-Kurdis dan seorang lagi dari parti pemerintah, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Gambar menunjukkan kedua-dua wanita itu diusung keluar dari Parlimen yang membahaskan pembentangan kedua rang undang-undang kontroversi itu.

Pergaduhan berlaku selepas seorang anggota bebas, Aylin Nazliaka menggari dirinya pada mikrofon di atas pentas selama lebih sejam untuk membantah rang undang-undang berkenaan.

Anggota AKP cuba memaksa dia turun tetapi anggota pembangkang mempertahankannya, menyebabkan berlaku tumbuk-menumbuk dan tendang-menendang.

Seorang anggota pembangkang yang menggunakan kaki dan tangan palsu terjatuh sebelum dibantu rakannya.

Rang undang-undang itu akan memberi kuasa yang lebih kepada Erdogan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 5:44 AM