NEIL Gemmell mengambil sampel air di perairan Loch Ness pada 11 Jun 2018. FOTO AFP
NEIL Gemmell mengambil sampel air di perairan Loch Ness pada 11 Jun 2018. FOTO AFP
AFP

CERITA makhluk gergasi yang bersembunyi dalam tasik Loch Ness di Inverness, Scotland sudah kedengaran selama lebih 1,500 tahun dan kini seorang ahli akademik berharap sains moden dapat menyelesaikan misteri itu.

Neil Gemmell dari University of Otago, New Zealand datang ke Scotland untuk mengambil sampel air di tasik itu dengan harapan mengetahui lebih banyak mengenai makhluk berkenaan yang juga dikenali sebagai ‘Nessie.’

“Lebih 1,000 mendakwa ternampak raksasa ini. Mungkin sesuatu yang luar biasa berada di sana,” katanya.

Gemmell berkata, beliau mencari DNA raksasa itu, namun projek terbabit lebih kepada tujuan menguji teknik DNA alam sekitar untuk memahami alam semula jadi.

Sementara itu, penduduk tempatan, Adrian Shine berkata, penemuan Gemmell mampu menyumbang kepada program kajian jangka panjang beliau iaitu ‘The Loch Ness Project’.

Projek itu adalah hasil inspirasi daripada usaha penjelajah antarabangsa terdahulu seperti Dan Scott Taylor dari Amerika Syarikat (AS) yang melakukan rondaan di tasik itu dengan kapalnya pada lewat 1960-an.

“Saya pasti ada spesis haiwan akan ditemui yang belum pernah direkodkan sebelum ini. Kemungkinan besar ia bukan sekadar haiwan.

“Jika sesuatu yang lain ditemui, saya tekankan perkataan ‘jika’, mungkin kita akan dapat menentukan makhluk apakah ini,” kata Shine.

Setakat ini, teori mengenai rupa sebenar raksasa Loch Ness dibesar-besarkan. Ia diperincikan sebagai ‘kuda air’ sama seperti spesis haiwan zaman dinosaur.

Cerita paling awal kewujudan makhluk Loch Ness adalah daripada Saint Columba yang membawa menyebarkan agama Kristian ke Scotland pada kurun ke-6.

Kali terakhir makhluk itu dilihat adalah pada 26 Mac lalu oleh pasangan Amerika Syarikat (AS) yang sedang duduk di runtuhan Istana Urquhart.

“Mereka menceritakan satu bayang-bayang besar bergerak dalam air dengan panjang kira-kira 9.1 meter. Tahun lalu mencatatkan rekod makhluk ini dilihat iaitu 11 kali,” kata pengendali bot pelancong, Dave Bell.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 12:17 AM