FILEM animasi papar sikap terbuka serta  ingin bergaul antara manusia dan raksasa.
FILEM animasi papar sikap terbuka serta ingin bergaul antara manusia dan raksasa.
Susunan Michelle Gun


Selepas tiga tahun, filem animasi kedua Hotel Transylvania kembali menghangatkan pawagan dengan paparan cerita lebih menarik.

Menerusi sekuel ini, naratif lebih tertumpu kepada usaha Drac mengubah cucunya yang berusia lima tahun menjadi puntianak.

Cerita bermula dengan perkahwinan puteri tunggal Drac iaitu Mavis dengan manusia bernama Johnny dan pasangan bahagia itu dikurniakan anak lelaki.

Kehadiran Johnny dalam keluarga itu membuka mata Drac terhadap banyak perkara termasuk membenarkan manusia menginap di hotelnya.

Pengarah Hotel Transylvania 2, Genndy Tarta­kovsky berkata, menerusi sekuel itu, manusia dan raksasa semakin bersikap terbuka dan mula bergaul.

Drac berharap cucunya, Dennis mewarisi kehebatannya sebagai puntianak, namun Mavis dan Johnny bersedia menerima apa juga takdir anak mereka.

“Drac risau apabila Dennis belum tumbuh taring meskipun bakal menyambut ulang tahun kelima. Dia semakin resah apabila Mavis mahu Dennis membesar seperti kanak-kanak normal tanpa dikelilingi raksasa,” katanya.

Menurut Tartakovsky, Mavis mengalami kejutan budaya ketika menziarahi keluarga mentuanya di Santa Cruz.

“Mavis teruja melihat dunia manusia manakala Drac sedih dengan keputusan anaknya yang mahu berpindah,” katanya.

Penyanyi popular Selena Gomez yang meminjamkan suaranya untuk Mavis berkata, walaupun sudah menjadi ibu, watak itu masih sama seperti filem terdahulu.

“Mavis seorang yang berani meneroka dan sangat bertenaga. Dalam filem pertama, Mavis menginginkan sesuatu di luar normal dan bapanya menyokong.

“Meskipun kehidupan Mavis berubah selepas berkahwin dia tetap anak kesayangan bapanya,” katanya.

Berkongsi pengalaman menyumbangkan suara untuk Hotel Transylvania 2, Gomez berkata, filem itu menekankan hubungan baik semua karakter.

“Saya suka dengan filem animasi ini kerana ia menyelitkan ba­nyak nilai positif terutama hubungan baik sesama makhluk dan saling menyokong antara satu sama lain biar apa pun yang berlaku.

“Lebih menarik ia turut menyelitkan karakter Frankenstein dan Wolfgang,” katanya.

Sementara itu, lagu tema Hotel Transylvania 2, I’m in Love with a Monster dinyanyikan kumpulan Fifth Harmony yang popular dengan single Worth It.

Sinopsis:

Hotel Transylvania semakin maju apabila Drac menerima manusia sebagai pelanggan.

Pada masa sama, Drac bimbang cucu lelakinya, Dennis yang berdarah kacukan manusia dan puntianak tidak menunjukkan sebarang tanda berubah menjadi puntianak.

Ketika anak perempuannya, Mavis ke Santa Cruz, Drac meminta rakannya melatih De­n­nis menjadi pontianak.

Perbuatan Drac itu mengundang kemarahan Mavis dan tanpa diduga bapanya, Vlad datang ke hotel mereka.

Keadaan menjadi tegang apabila Vlad me­ngetahui darah manusia mengalir dalam badan cicitnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:13 AM