PELARIAN Rohingya berteduh dalam hujan di kem pelarian Balukhali, Bangladesh. -  AFP
PELARIAN Rohingya berteduh dalam hujan di kem pelarian Balukhali, Bangladesh. - AFP
AFP

Dhaka: Menteri luar negara-negara Islam semalam melancarkan kempen untuk menggesa sokongan antarabangsa bagi tindakan terhadap Myanmar berhubung krisis pelarian Rohingya, kata pihak berkuasa.

Menteri luar dan diplomat di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mewujudkan jawatankuasa kempen hasil perbincangan dua hari di Dhaka.

Setiausaha Agung OIC Yousef Ahmed Al-Othaimeen menganggap usaha itu langkah penting bagi menamatkan krisis susulan kira-kira 700,000 Rohingya dari Myanmar ke Bangladesh.

Katanya, jawatankuasa baru itu akan melancarkan dan menyelaras sokongan politik antarabangsa untuk kebertanggungjawapan pelanggaran hak asasi manusia terhadap masyarakat Rohingya dan negara Islam perlu memberi tekanan terhadap masyarakat antarabangsa.

“Ini bukan isu keagamaan, ia hak asasi manusia saudara kita sejak 50 tahun lalu.

“Ini amat penting. Ia antara langkah konkrit yang diambil untuk menyelesaikan masalah dihadapi saudara Rohingya kita,” katanya.

Kempen tentera dilancarkan di Rakhine pada Ogos lalu melihat kumpulan minoriti itu melarikan diri ke Bangladesh yang sudah sedia mempunyai 300,000 pelarian Rohingya yang tinggal di kem perlindungan selepas keganasan yang berlaku terdahulu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS) berkata, tindakan ketenteraan itu boleh dianggap pembersihan kaum. Tentera Myanmar bagaimanapun mendakwa cuma menyasarkan militan dalam oeprasinya.

Namun orang awam Rohingya menceritakan keganasan dihadapi termasuk pembunuhan dan rogol, selain menuduh tentera membakar ratusan perkampungan mereka.

Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa sudahpun menggesa badan itu memutuskan sama ada ia boleh menyiasat dakwaan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 9:38 AM