IMBASAN X-ray menunjukkan bagaimana pencakar itu menusuk kaki pesakit. - Daily Mail
IMBASAN X-ray menunjukkan bagaimana pencakar itu menusuk kaki pesakit. - Daily Mail

London: Imej mengerikan ini menunjukkan apa yang berlaku apabila tukang kebun secara tidak sengaja terpijak pencakar, namun menakjubkan apabila tidak satupun tulangnya ditusuk alat berkenaan.

Gambar itu dimuat naik dalam Figure 1, laman sesawang di mana doktor di seluruh dunia berkongsi imej perubatan dan berbincang mengenai pendapat masing-masing.

Ketua pendidikan pertolongan cemas di Palang Merah Britain, Joe Mulligan yang memuat naik imej itu berkata: “Mujur tusukan itu tidak terkena tulang kakinya. Ini contoh baik mengapa anda tidak sepatutnya membiarkan peralatan berkebun di merata tempat dan tidak menyusunnya dengan kemas.”

Dia turut menegaskan betapa pentingnya pemakaian kasut sesuai ketika berkebun dan bukannya selipar seperti digunakan pesakit dalam kejadian itu.

Mulligan turut menasihatkan orang ramai tidak mengeluarkan sendiri jika mengalami tusukan seumpama itu.

“Apabila ia tertusuk pada anggota badan anda, ia akan menghentikan pendarahan dengan menyekat saluran darah dan arteri. Jika anda mengeluarkannya, ia akan menyebabkan kehilangan darah yang banyak,” katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 4:21 AM