ANGGOTA forensik memeriksa lokasi kilang mercun yang terbakar di Tangerang, Jakarta. - EPA
ANGGOTA forensik memeriksa lokasi kilang mercun yang terbakar di Tangerang, Jakarta. - EPA
AFP

Jakarta: Tiga individu dinamakan sebagai suspek dalam kes kebakaran sebuah kilang mercun yang menyebabkan 48 pekerja maut dan dianggap sebagai kemalangan industri terburuk negara itu, kata polis semalam.

Kilang di tengah Jakarta itu baru enam minggu beroperasi sebelum ia terbakar pada Khamis lalu dengan menyebabkan 48 pekerja maut dan 45 lagi cedera.

Pemilik kilang, Indra Liyono dinamakan sebagai suspek bersama pengarah operasi, Andri Hartanto dan operator peralatan pengimpal, Subarna Ega.

Ketiga-tiga mereka disiasat kerana cuai di tempat kerja hingga menyebabkan kematian dan berdepan hukuman penjara lima tahun dan denda Rp500 juta (RM155,807).

“Keterangan saksi dan ujian forensik mendapati kebakaran berpunca daripada percikan api alat pengimpal yang merebak ke bahan membuat mercun,” kata jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono.

Indra dan Andri sudah memberi keterangan kepada polis, manakala Subarna masih menghilangkan diri.

Polis berkata, syarikat Panca Buana Cahaya Sukses turut mengambil tiga pekerja kanak-kanak bawah umur dan kesalahan itu boleh menyebabkan kilang itu ditutup.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 5:36 AM