BERNAMA

AFRIKA Selatan pernah melaksanakan dasar apartheid yang mewujudkan zon larangan kepada orang kulit hitam, Israel juga mengamalkan dasar itu terhadap penduduk Palestin dan di Asia Ternggara, Myanmar mengamalkannya dengan mewujudkan zon bebas Muslim (Muslim free zone).

Ketika ribuan etnik Rohingya melarikan diri dari Rakhine, menyelamatkan diri daripada keganasan tentera Myanmar dan penganut Buddha, masyarakat Islam di seluruh Myanmar turut dikenakan penindasan dalam bentuk lain,

Dalam laporan diterbitkan Burma Human Rights Network (BHRN), pertubuhan bebas itu mendakwa sejak keganasan tercetus pada 2012, jumlah ‘zon bebas Muslim' meningkat di negara itu.\

Pengasas dan pengarah eksekutif BHRN, Kyaw Win, berkata pihaknya mendokumentasi kewujudan sekurang-kurangnya 21 kampung di seluruh negara apabila penduduk setempat, dengan kebenaran pihak berkuasa, mendirikan papan tanda amaran kepada masyarakat Islam supaya tidak memasukinya (zon bebas Muslim),"

Ketika membentangkan laporan BHRN di Bangkok, baru-baru ini, beliau berkata sebelum 2012, beberapa bandar di Myanmar menguatkuasakan larangan khusus kepada masyarakat Islam, iaitu negeri Rakhine dan negeri Kayin, namun jumlah itu meningkat di seluruh negara sebagai respons kepada kisah yang menggambarkan orang Islam sebagai ancaman.

Keganasan pada 2012, menurut laporan itu, mencetuskan peningkatan usaha dalam kalangan nasionalis Buddha menentukan siapa yang berasal dari Burma (Myanmar) dan siapa tidak.

"Pengusiran masyarakat Islam dari perkampungan Buddha seperti didorong tanggapan kehadiran masyarakat Islam di dalam negara secara keseluruhan dan di persekitaran setempat, melunturkan kekuatan Buddhisme dan oleh itu, adalah ancaman,” menurut laporan itu.

Dalam laporan berkenaan, BHRN menyertakan gambar zon bebas Muslim seperti di kawasan perbandaran Oak Tadar Block Yatsauk di negeri Shan dengan papan tanda memberi amaran kepada masyarakat Islam supaya tidak bermalam, membeli atau menyewa hartanah serta mengahwini penduduk tempatan.

Laporan itu turut menunjukkan gambar papan tanda memaparkan amaran dan larangan serupa kepada masyarakat Islam, antaranya di perkampungan Botaesu, kawasan perbandaran East Yaytarshae di Pegu, Kyike Htaw Waterfall Gates di negeri Karen, dan kawasan perbandaran Shwe Nyaung serta Taunggyi di Negeri Shan.

Papan tanda dengan slogan anti-Muslim turut muncul di seluruh Myanmar, dengan amaran, "jangan beri Harimau makan dan jangan beri ruang kepada Kalar (Muslim). Jika kamu beri Harimau makan, ia akan memakan kamu."

Menurut BHRN, kempen peringkat akar umbi di Myanmar untuk menjarakkan penganut Buddha dengan Islam semakin memuncak manakala kerajaan gagal bertindak.

Laporan itu disediakan berdasarkan lebih 350 temu bual dikendalikan BHRN bagi tempoh lapan bulan, dengan keterangan dikumpul daripada individu di lebih 46 bandar dan kampung di seluruh Myanmar, dari negeri Karen di timur sehingga ke Rakhine di barat, dan di seluruh bahagian tengah Myanmar.

Laporan itu juga berdasarkan keterangan yang dikumpul BHRN sejak Mac 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 10:16 PM