KEADAAN kaki Rezia yang membesar menyebabkan dia tidak boleh bergerak. - Agensi
KEADAAN kaki Rezia yang membesar menyebabkan dia tidak boleh bergerak. - Agensi

Dhaka: Seorang wanita disyaki dijangkiti sejenis parasit bawaan nyamuk yang menyebabkan kaki kanannya membesar secara luar biasa.

Kaki kanan Rezia Begum, 40, membesar seberat 60 kilogram akibat penyakit untut atau dikenali sebagai kaki gajah.

Ibu kepada dua orang anak itu memberitahu, kakinya mula membesar sejak melahirkan anak keduanya 18 tahun lalu.

Kerana miskin, Rezia tidak mendapatkan rawatan ke hospital menyebabkan kakinya semakin membesar sehingga dia sukar bergerak.

“Saya sebelum ini sama seperti wanita normal yang lain tetapi kini saya menjadi beban kepada keluarga,” katanya.

Selepas beberapa tahun menderita, akhirnya nasib Rezia berubah apabila mendapat bantuan kerajaan dan dibawa ke Hospital Kolej Perubatan Dhaka untuk rawatan.

Doktor memberitahu, rawatan untuk Rezia belum ditentukan lagi kerana wanita itu perlu menjalani beberapa ujian terlebih dahulu.

Penyakit untut berpunca daripada cacing bulat daripada nyamuk yang masuk ke badan manusia menyebabkan pembuluh limfa tersumbat.

Sekiranya bengkak pada kaki merebak hingga ke bahagian badan, keadaan itu boleh membawa maut.

Seramai 120 juta penduduk dunia dilaporkan menderitai penyakit itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 8:25 AM