PENGHIDAP kronik perlu menjaga kebersihan diri.
PENGHIDAP kronik perlu menjaga kebersihan diri.
PENYAKIT filariasis limfatik terbahagi kepada akut dan kronik.
PENYAKIT filariasis limfatik terbahagi kepada akut dan kronik.
PENYAKIT kaki gajah sukar disembuhkan.
PENYAKIT kaki gajah sukar disembuhkan.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Penyakit kaki gajah atau filariasis limfatik ialah sejenis penyakit disebabkan oleh cacing filaria yang menular daripada pelbagai jenis nyamuk.

Ia antara penyakit yang sangat sukar untuk sembuh sekiranya tidak ditangani dengan cepat selain mengakibatkan risiko cacat kekal terutama pada pembesaran kaki, lengan dan beberapa anggota lain.

Penderita penyakit kaki gajah mengalami pembengkakan yang luar biasa terutama pada bahagian yang diserang penyakit itu malah ia masih menjadi masalah kesihatan awam dan dianggarkan 120 juta penduduk di 80 negara dijangkiti.

Menurut Ahli Persatuan Parasitologi dan Perubatan Tropika Malaysia Dr Tunku Shahrul Anuar Tunku Ahmad Basri, kira-kira enam peratus penduduk di Malaysia dijangkiti penyakit ini dengan majoriti individu yang tinggal di Kedah, Perak, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, semua negeri terbabit diberi tumpuan khusus dalam Program Eliminasi Filariasis Limfatik Kebangsaan (PEFLK) di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Strategi program itu adalah untuk menghentikan penularan jangkitan filariasis dan seterusnya mengawal morbiditi pesakit untut yang melalui program ini, pemberian ubat berskala besar dijalankan membabitkan penduduk di kawasan tumpuan yang dijalankan setiap tahun untuk lima pusingan (sejak 2001).

“Program ini juga membabitkan aktiviti pendidikan kesihatan yang diberikan kepada masyarakat untuk meningkatkan kesedaran mereka mengenai penyakit ini,” katanya.

Dr Tunku Shahrul Anuar berkata, penekanan mengenai pengamalan cara hidup sihat dan mementingkan penjagaan kebersihan diri turut diberikan penekanan utama terutama dalam kalangan penghidap penyakit itu.

Punca

Menurut Dr Tunku Shahrul Anuar, filariasis limfatik berpunca daripada sejenis cacing berbentuk benang yang dipanggil filaria.

“Terdapat dua spesies filaria yang boleh dijumpai di Malaysia iaitu Wuchereria bancrofti dan Brugia malayi. Pada peringkat dewasa, parasit ini hidup di dalam sistem saluran limfatik iaitu rangkaian saluran dan nodus yang mengekalkan imbangan cecair di antara tisu dan darah yang juga komponen penting dalam sistem pertahanan badan.

“Jangka hayat filaria ialah empat hingga enam tahun dan ia mampu menghasilkan berjuta-juta mikrofilaria yang hidup bebas di dalam aliran darah manusia,” ujarnya.

Katanya, selain manusia, haiwan seperti monyet dan beberapa jenis primat juga antara perumah dikenal pasti boleh menjadi tempat perkembangan cacing filaria ini yang turut berpotensi dijangkiti.

Cara penularan

Penyakit itu disebarkan oleh dua jenis nyamuk iaitu Anopheles dan Mansonia betina. Nyamuk ini menggigit individu yang sedia dijangkiti dan membawa bersama mikrofilaria dari darah penghidap filariasis.

Menurutnya, mikrofilaria ini diserap ke dalam badan nyamuk, menembusi dinding perut, memasuki bahagian dalam dan seterusnya ke otot toraks nyamuk.

“Selepas tempoh kira-kira dua minggu, parasit ini akan berhijrah ke kepala nyamuk dan menempatkan dirinya di bahagian mulut yang kemudian bersedia memasuki kulit manusia menerusi gigitan yang akhirnya akan mewujudkan satu kitaran lengkap.

“Gigitan nyamuk itu bakal mengakibatkan individu terbabit dijangkiti pe­nyakit itu,” katanya.

Tanda atau gejala klinikal

Penyakit filariasis limfatik terbahagi kepada akut dan kronik. Manifestasi akut penyakit ini menunjukkan tanda setempat seperti pembengkakan, demam, radang kemerahan dan kesakitan melampau pada kawasan yang dijangkiti.

Dr Tunku Shahrul Anuar berkata, tanda am ialah demam, kesejukan, pening dan kelesuan. Tanda ini berlaku pada anggota badan atau dalam skrotum (pundi kemaluan lelaki) dan berkaitan jangkitan kulat atau bakteria yang melampau.

“Radang yang berlaku semasa serangan akut ini akan merosakkan saluran limfa yang kecil (di dalam kulit) serta mengurangkan keupayaan kulit untuk menyerap cecair.

“Radang ini juga menyebabkan kerosakan pada kulit itu sendiri. Semasa badan memperbaiki kerosakan ini, kulit akan menjadi keras dan tebal dalam proses dikenali sebagai fibrosis,” ujarnya.

Menurutnya, dengan setiap serangan akut, kulit akan menjadi semakin tebal, berlapis-lapis dan membesar. Proses ini akan berterusan dan pembengkakan berpanjangan menyebabkan kulit mendapat jangkitan bakteria.

Manakala manifestasi kronik pula membabitkan manifestasi limfoedema dan urogenital. Limfoedema disebabkan oleh saluran limfatik yang tidak berfungsi kerana penyumbatan saluran akibat kehadiran cacing filaria dewasa.

“Ia lebih kerap berlaku di bahagian bawah badan tetapi boleh berlaku pada buah dada, skrotum, penis dan tangan.

“Manifestasi kronik terdiri daripada hematuria (kehadiran darah dalam air kencing), hydrocele (pe­ngumpulan cecair dalam pundi kencing), chyocele (kehadiran cecair limfa dalam tunika vaginalis), chyluria (kehadiran cecair limfa dalam air kencing) dan limfoedema pada skrotum atau penis,” katanya.

Komplikasi

Pesakit yang mempunyai limfoedema dan kerosakan saluran limfatik selalunya terdapat luka, rekahan, calar pada permukaan kulitnya dan di antara ruang kaki yang dipanggil lubang nanah.

Keadaan ini menggalakkan berlakunya jangkitan sekunder bakteria dan menyebabkan kulit menjadi kemerah-merahan, sangat sakit, panas dan membengkak.

Sekiranya tiada rawatan diberi, bakteria boleh masuk ke dalam sistem darah dan seterusnya boleh membahayakan nyawa pesakit.

Diagnosis

Pembacaan slaid darah digunakan bagi menentukan kehadiran mikrofilaria. Bagaimanapun, pengambilan sampel slaid darah ini perlu dilakukan pada waktu malam kerana parasit ini mempunyai sifat periodisiti nokturnal yang menyebabkan parasit ini hanya boleh dikesan dalam darah pada waktu malam.

Rawatan

Dr Tunku Shahrul Anuar berkata, melalui Program Eliminasi Filariasis Limfatik Kebangsaan, ubat diberikan dengan matlamat untuk membebaskan generasi akan datang daripada penyakit ini dan manifestasi lain daripada filariasis limfatik dengan memutuskan kitaran jangkitan di antara nyamuk dan manusia.

“Rawatan pemberian ubat beramai-ramai dijalankan di kawasan yang dikategorikan sebagai endemik filariasis setahun sekali.

“Rawatan yang diberikan membabitkan dua jenis ubat dalam bentuk tablet iaitu Diethylcarbamazine (DEC) dan Albendazole serta kedua-dua ubat ini diberikan serentak di bawah kawalan langsung (Direct Observation Therapy),” katanya.

Menurutnya, kedua-dua jenis ubat ini digunakan kerana ia lebih berkesan jika dibandingkan dengan penggunaan hanya satu jenis ubat kerana ia dapat mengurangkan densiti filaria dalam darah.

“Bagi penghidap limfatik filariasis kronik, penjagaan kebersihan penting untuk mencegah jangkitan sekunder dan peradangan sistem limfatik.

“Pembengkakan kecil yang berlaku terhadap bahagian tertentu badan boleh dipulihkan dengan rawatan namun pembengkakan yang besar mungkin boleh diperbaiki melalui pembedahan rumit, tetapi menghasilkan pembaikan terhad,” ujarnya.

Pencegahan

Menurut Dr Tunku Shahrul Anuar yang juga Pen­syarah Kanan Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, mereka yang tinggal di kawasan endemik filariasis dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada terdedah kepada gigitan nyamuk kerana ia vektor bagi penularan penyakit ini.

“Setiap penduduk juga perlu memastikan kawasan kediaman mereka bebas daripada pembiakan nyamuk dan mengurangkan aktiviti luar pada waktu malam terutama di kawasan luar bandar atau hutan.

“Mereka juga dinasihatkan untuk memakai pakaian seperti baju berlengan panjang dan seluar panjang serta elakkan daripada memakai pakaian berwarna gelap,” katanya.

Selain itu, penghidap penyakit filariasis limfatik kronik perlu menjaga kebersihan diri terutama bahagian anggota badan yang mengalami jangkitan.

“Penjagaan kebersihan diri ini penting bagi mencegah daripada berlakunya jangkitan sekunder bakteria yang seterusnya boleh menyebabkan manifestasi penyakit yang lebih teruk,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 5:09 AM