KEADAAN tumor kaki Eunice yang semakin membesar sehingga menyukarkannya bergerak. - Agensi
KEADAAN tumor kaki Eunice yang semakin membesar sehingga menyukarkannya bergerak. - Agensi

Nairobi (Kenya): Seorang ibu tunggal bukan sahaja menghidap sejenis tumor yang menyebabkan kakinya membesar tetapi turut dipulau penduduk kampung kerana disyaki menjadi mangsa sihir.

Kaki Eunice Anyango yang tinggal di kampung Eshirumbwe di barat Kenya mula membesar sejak terlanggar sebatang kayu yang mencederakan bahagian keting pada 1992.

Eunice, 35, tidak pergi ke hospital kerana menyangka kecederaan pada kakinya tidak serius, tetapi sejenis tumor mula tumbuh dan semakin membesar sehingga menyebabkannya sukar bergerak.

Wanita itu kini tinggal bersama ibunya yang buta dan anak lelaki berusia 16 tahun.

Namun, sejak menderita penyakit itu Eunice dipinggir komuniti di kampungnya dan tiada siapa yang menghulurkan bantuan.

Seorang jiran, Mabel Akiso berkata, ketua kampung mengetahui keadaan yang menimpa wanita itu tetapi dia tidak melakukan apa-apa untuk membantunya.

“Ramai penduduk kampung percaya wanita ini dan keluarganya menjadi mangsa ilmu hitam.

“Sebab itu ramai penduduk menjauhkan diri daripada keluarga ini kerana takut terkena sihir berkenaan,” katanya.

Baru-baru ini sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Mashinani Initiative berjanji untuk membantu keluarga berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 8:17 AM