Kepulan asap dekat pasar awam Marawi selepas helikopter tentera Filipina melepaskan bedilan roket terhadap kedudukan militan. - Foto AFP
Kepulan asap dekat pasar awam Marawi selepas helikopter tentera Filipina melepaskan bedilan roket terhadap kedudukan militan. - Foto AFP
AFP

SELEPAS sebahagian besar penduduk bandar Marawi di Mindanao mengosongkan bandar itu hari ini tentera Filipina menggunakan senjata lebih berat - mengebom dari udara bangunan tertentu yang dikuasai militan serta membedil dengan roket dari helikopter.

Tembakan ketika pertempuran sengit kedengaran hampir sepanjang hari dan menurut tentera, mereka mengebom kawasan penempatan yang sudah dikosongkan.

"Kami menggunakan serangan udara yang tepat ke sasaran,” kata jurucakap tentera tempatan, Leftenan Kolonel Jo-Ar Herrera.

Antara yang dibom ialah kawasan sekitar bangunan pentadbiran kerajaan wilayah itu.

Menurut Herrera walaupun jumlah militan Maute, penyokong kuat Negara Islam (IS) tidak begitu ramai, antara 30 hingga 40 orang namun mereka menggunakan orang awam sebagai tebusan serta bergerak dari rumah ke rumah sambil memasang jerangkap samar.

Kenderaan tentera terpaksa melalui di celah-celah kenderaan orang ramai yang melarikan diri dari Marawi. - Foto AFP
Kenderaan tentera terpaksa melalui di celah-celah kenderaan orang ramai yang melarikan diri dari Marawi. - Foto AFP

Hampir seluruh 200,000 penduduk Marawi sudah meninggalkan bandar itu dan menurut Herrera, pihaknya memberi amaran kepada kemungkinan penduduk yang masih ada supaya ke tempat selamat - jauh dari kawasan pertempuran.

Sehingga malam ini, 11 tentera, dua polis dan 31 militan terbunuh selepas tiga hari ‘berperang’. Seramai 39 tentera cedera.

Menurut Herrera, dua orang awam juga terbunuh dalam hospital yang ditawan militan Selasa lalu, dan pihaknya sedang menyiasat laporan sembilan orang dibunuh di sekatan jalan raya militan.

Siaran televisyen tempatan, GMA, menyiarkan gambar sembilan mayat ditembusi peluru di satu padang dengan tangan terikat.

SITE Intelligence Group yang memantau aktiviti jihad dalam talian, IS mendakwa lebih 70 tentera terbunuh di Marawi dan 10 lagi di kawasan pergunungan Jolo, namun ia tidak dapat disahkan.

Militan menahan antara 12 hingga 15 tebusan Kristian, termasuk paderi yang diculik dari sebuah gereja.

Selain membebaskan lebih 100 banduan di dua penjara, militan juga membakar bangunan, termasuk gereja dan universiti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 11:50 PM