TARMIZI menunjukkan belakang keretanya, tempat anaknya melahirkan cucunya.  - Agensi
TARMIZI menunjukkan belakang keretanya, tempat anaknya melahirkan cucunya. - Agensi

Meulaboh: Seorang bayi baru lahir meninggal dunia selepas ibunya terpaksa bersalin di belakang kereta kerana ketiadaan ambulans untuk membawanya ke hospital.

Kejadian disahkan oleh Ketua Kesihatan Wilayah Aceh Barat, Zafril Luthfy.

Datuk bayi berkenaan, Tarmizi berkata, dia membawa anaknya ke Pusat Kesihatan Umum Mutulang tetapi petugas perubatan kawasan itu berkata, anaknya, Linda, terpaksa dihantar ke hospital kerana kandungannya songsang.

Malangnya, ketika itu, tiada ambulans di pusat berkenaan untuk membawa Linda ke hospital kerana kedua-dua ambulans yang ada digunakan dan dia terpaksa membawanya dengan keretanya sendiri.

Tarmizi berkata, ketika tiba di Hospital Cut Nyak Dhien Meulaboh, separuh badan bayi berkenaan sudah terkeluar dari rahim Linda dan petugas terpaksa menguruskannya di belakang kereta.

Bayi itu bagaimanapun sudah tidak bernyawa apabila dilahirkan, tetapi ibunya terselamat.

Menurut Tarmizi dia kecewa kerana tiada doktor dan ambulans di pusat kesihatan umum ketika dia tiba di situ.

“Saya menelefon pemandu ambulans. Dia kata sedang hantar jenazah. Tetapi dalam perjalanan ke hospital, saya lihat ambulans itu di satu acara pesta,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 11:45 AM