TARMIZI menunjukkan bangkai ayam ternakannya. FOTO Ghazali Kori
TARMIZI menunjukkan bangkai ayam ternakannya. FOTO Ghazali Kori
Zaid Salim


Chukai: Penternak rugi apabila lebih 100 ayam kampung diternaknya hanyut dibawa arus banjir di Kampung Teladas, di sini, Jumaat lalu.

Tarmizi Jaafar, 58, berkata, semua ternakan itu hanyut dan mati selepas kawasan rumah mereka ditenggelami air bermula jam 6 pagi.

Katanya, dia tidak sempat menyelamatkan ternakan itu kerana air naik terlalu cepat dan memenuhi halaman rumah sehingga menenggelamkan beberapa anak tangga.

"Saya terpaksa mengabaikan ternakan kerana takut nak mengharung air yang semakin dalam.

"Saya bersama keluarga kemudian menyelamatkan barangan dalam kediaman kerana paras air hampir memasuki ruang rumah," katanya ketika ditemui melihat bangkai ternakan berhampiran reban.

Katanya, ternakan yang dianggarkan bernilai lebih RM2,000 dibela untuk jualan dan menjadi sumber pendapatan selain bercucuk tanam.

"Sedih apabila melihat ayam yang dibela mati di tepi reban dengan sebahagiannya ada yang sudah boleh dijual, tapi saya terima kerana ini adalah ujian Allah.

"Saya reda, mungkin ini bukan rezeki," katanya.

Dia berkata, selain ayam, dia turut mengalami kerugian apabila baja dan racun bernilai hampir RM700 digunakan untuk kebun sawit dan dusun buah-buahan rosak ditenggelami air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 5:46 PM