ANTARA kerja seni halus yang turut dipamerkan dalam pameran berkenaan.
ANTARA kerja seni halus yang turut dipamerkan dalam pameran berkenaan.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Membuka tirai 2018, Galeri G13 mempersembahkan pameran berkumpulan yang menampilkan barisan artis muda dari Asia Tenggara.

Karya seni Asia Tenggara memperlihatkan perkembangan yang positif dan ternyata turut menyumbang kepada perkembangan seni kontemporari global.

Pameran berjudul ‘Axis by Praxis: Identity in Transition’ itu menzahirkan latar seni halus rantau ini melalui penterjemahan bakat muda dari Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand.

Lima artis muda terbabit adalah Shafiq Nordin (Malaysia), Hisyamuddin Abdullah (Malaysia), Nurrachmat Widyasena (Indonesia), Renz Baluyot (Filipina) dan Preecha Racksorn (Thailand).

Hasil kerja tangan barisan anak muda ini bukan saja memperlihatkan kepelbagaian tapi turut menonjolkan fokus yang sama iaitu eksperimentasi media dan dinamik identiti berkait tradisi, budaya serta.

Hasil usaha Galeri G13 ini juga bukan sekadar menyediakan platform bagi artis muda dari Asia Tenggara menampilkan karya di peringkat rantau ini tapi turut membuka mata mereka terhadap dunia seni tempatan serta luar negara.

Penulis berpeluang menemu bual Shafiq yang menampilkan karya seni halus dalam pameran berkenaan.

“Untuk pameran ini, saya tampilkan tiga karya dan setiap satu mengambil masa sekitar tiga minggu untuk disiapkan,” katanya.

Shafiq yang terkenal dengan karya lukisan di atas kain jut menampilkan kelainan dalam karyanya kali ini.

“Medium yang saya gunakan dalam pameran kali ini ada sedikit kelainan terutama daripada segi penggunaan warna.

“Sebelum ini kebanyakan warna pastel diketengahkan namun, kali ini saya perbaharui dengan menggunakan warna terang.

“Ia satu cabaran bagi saya kerana warna terang agak sukar dicampur dengan warna lain,” katanya.

Selain itu, Shafiq turut menampilkan kelainan dari segi bentuk dan diameter lukisan.

“Karya terbaru ini dipotong mengikut bentuk subjek dan dilekatkan di atas papan lapis demi menampakkan bayang subjek itu apabila tergantung di galeri.

“Kelainan itu juga turut memperlihatkan subjek lebih kuat dan lebih menarik dari karya kanvas berdiameter petak segi,” katanya.

SHAFIQ (kiri) bersama barisan artis muda lain yang terbabit dalam pameran berkenaan.
SHAFIQ (kiri) bersama barisan artis muda lain yang terbabit dalam pameran berkenaan.

Menurut Shafiq, pameran berkenaan turut menonjolkan keunikan setiap artis dari pelbagai negara melalui gaya dan isu yang tersendiri.

“Karya kali ini mengetengahkan perbezaan antara senario seni di Malaysia dan negara serantau.

“Faktor ekonomi, budaya dan penerimaan masyarakat tentang seni adalah isu utama yang saya ketengahkan kali ini.

“Ia secara tidak langsung membabitkan politik dalam seni rupa dan bagaimana artis memberi tindak balas terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya,” katanya.

Shafiq turut berpendapat, peminat seni perlu menonton pameran berkenaan kerana ia pembukaan tahun baru dan kesemua artis menampilkan karya baru dengan idea yang lebih segar.

“Selain itu, mereka dapat melihat keunikan setiap artis bukan sahaja di Malaysia namun dari Indonesia, Filipina dan Thailand.

“Dari situ, penonton dapat mengukur potensi, keunikan dan tahap kefahaman seni daripada artis dengan budaya dan latar belakang berbeza,” katanya.

Pameran yang berlangsung sehingga 27 Januari ini terbuka kepada orang ramai setiap hari bermula jam 11 pagi hingga 5 petang kecuali Ahad dan cuti umum.

Kunjungi Galeri G13 yang terletak di GL13, Ground Floor, Block B, Kelana Square, Jalan SS7/26, Kelana Jaya, Selangor atau layari www.facebook.com/G13gallery untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 12:01 AM