Teks dan gambar Nor Hanisah Kamaruzaman


Bagi memenuhi ruangan pada bulan ini, Galeri G13 menampilkan karya seni tiga artis muda dalam pameran bertajuk Attract/Retract: A Studio Pisang Exhibiton.

Pameran yang berlangsung sehingga 28 November ini memperlihatkan hasil seni tiga artis dari Studio Pisang iaitu Hisyamuddin Abdullah, Shafiq Nordin dan Sabihis Md Pandi.

Ia mengetengahkan hasil kerja terbaru mereka yang terdiri daripada lakaran hinggalah cetakan kayu.

Antara medium yang digunakan dalam menghasilkan karya untuk pameran kali ini adalah akrilik, cetakan kayu dan arang.

Hasil kerja yang mengambil masa tiga tahun itu memfokuskan kepada kesan perubahan alam sekitar dan pengaruhnya terhadap karya artis yang turut menyelitkan unsur isu semasa.

Berinspirasikan ‘Ways of Seeing’ oleh John Berger, pameran berkenaan meneroka isu teknologi maklumat serta kesannya terhadap minda artis itu sendiri.

Hisyamuddin terkenal dalam menghasilkan potret mencerminkan dirinya sendiri dengan mengenakan sentuhan perasaan lemah dan bersalah dalam karyanya. Dia turut menggunakan warna dan imej tunggal serta menerapkan jenaka mengenai isu semasa.

Shafiq pula lebih cenderung kepada corak abstrak dan sering menerapkan elemen haiwan mistik dengan sentuhan pop tersendiri, manakala Sabihis cenderung terhadap penghasilan cetakan kayu di atas kanvas dengan menerapkan unsur mitos.

Ketiga-tiga artis muda berkenaan mempunyai penampilan berbeza, namun memiliki tema sama iaitu mengambil unsur alam sekitar dan keadaan sekeliling sebagai fokus.

Pameran dibuka kepada orang ramai dan masuk percuma dari Isnin hingga Sabtu bermula jam 11 pagi hingga 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 5:05 AM