AIMAN
AIMAN
Nor Hanisah Kamaruzaman

Project Room di Galeri G13 mempersembahkan pameran seni instalasi kelapan yang menampilkan artis muda Aiman Zamri.

Project Room adalah kolaborasi pertama lulusan pengajian seni halus dari The One Academy itu dengan Galeri G13. Pameran berjudul Feral Withdrawal yang menampilkan karya lukisan seni halus itu adalah terjemahan artis mengenai kisah lampaunya.

Aiman mendalami emosi dan perasaan yang terbit daripada memori duka kerana dinilai hanya kerana personalitinya.

Dinilai sebegitu rupa pada usia muda, Aiman menyerlahkan emosi marah dan keliru dalam dirinya.

Emosi itu turut didorong layanan buruk orang sekeliling hanya kerana menonjolkan sisi feminin dalam dirinya berbanding sifat maskulin.

Visual kacau bilau daripada sentuhan abstrak mengatasi potret yang dilukis sempurna di lapisan bawah.

Sama seperti judul pameran itu, karya anak muda ini menampilkan kombinasi lukisan figura realistik dengan abstrak ekspresionis bagi menzahirkan bagaimana artis berhadapan dengan dilemanya.

Aiman merasakan dengan menyalurkan perasaan menerusi penghasilan karya seni, ia sangat memberi ketenangan.

KARYA anak muda ini menggabungkan genre realisme dengan abstrak bagi menzahirkan dilemma emosi yang dihadapinya.
KARYA anak muda ini menggabungkan genre realisme dengan abstrak bagi menzahirkan dilemma emosi yang dihadapinya.

“Menghasilkan karya seni adalah proses terapi bagi saya untuk melepaskan kemarahan dan menanam segala perasaan.

“Ia adalah satu proses bagi mengubati luka dalaman daripada berfikir mengenai perkara yang mengganggu emosi dan perasaan saya,” katanya.

Pendekatan artistik yang diketengahkan untuk siri kali ini adalah ʽtenang sebelum ribut’ di mana Aiman menampilkan potret dirinya sebelum menyelitkan pergerakan berus yang agresif serta menambah lapisan pada lapisan berkenaan.

“Pada lapisan pertama saya lukis ciri wajah saya sebagai salah satu kaedah meditasi.

“Kemudian saya akan eskpresikan perasaan saya dengan merosakkan beberapa ciri wajah dan menconteng dengan berus pada lapisan atas.

“Kesan abstrak yang terhasil daripada pergerakan berus itu menambah dimensi dan tekstur pada lukisan saya,” katanya.

Untuk pameran ini, Aiman mengetengahkan lapan lukisan cat minyak.

 SEBANYAK lapan lukisan diketengahkan dalam pameran berjudul ‘Feral Withdrawal’ yang berlangsung di Project Room, Galeri G13.
SEBANYAK lapan lukisan diketengahkan dalam pameran berjudul ‘Feral Withdrawal’ yang berlangsung di Project Room, Galeri G13.

Menerusi program Project Room, Galeri G13 bukan saja mengangkat hasil karya anak muda tapi pada masa yang sama membantu mereka berkembang sebagai artis dan individu.

Pameran yang berlangsung dari 1 Februari hingga 15 Februari 2018 itu terbuka kepada orang ramai.

Kunjungi Galeri G13 di tingkat bawah, Block B, Kelana Square, Jalan SS7/26, 47301 Kelana Jaya, Selangor atau layari www.facebook.com/G13gallery untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 12:00 AM