AHMAD Rafhan mengelap koleksi Hot Wheels miliknya
AHMAD Rafhan mengelap koleksi Hot Wheels miliknya
PENGUMPUL tegar Hot Wheels, Ahmad Rafhan.
PENGUMPUL tegar Hot Wheels, Ahmad Rafhan.
AHMAD Rafhan melihat koleksi Hot Wheels yang disimpan rapi di dalam rak.
AHMAD Rafhan melihat koleksi Hot Wheels yang disimpan rapi di dalam rak.
Redzuan Muharam


“Selagi tidak dapat, selagi itulah saya akan mencari koleksi diinginkan walaupun perlu membelinya dengan harga mahal di portal beli belah dalam talian ,” kata pengumpul tegar kereta mainan Hot Wheels, Ahmad Rafhan Othman.

Ahmad Rafhan berkata, dia mula obses mengumpul kereta mainan itu sejak dua tahun lalu dan kini mempunyai lebih 400 koleksi Hot Wheels pelbagai model di dalam simpanannya.

Jejaka yang bekerja sebagai penguji gas bertauliah itu berkata, permainan itu dibeli dengan harga serendah RM5 hingga RM2,000 dan dia menghabiskan kira-kira RM30,000 sejak aktif sebagai pengumpul.

“Bukan semua koleksi saya mudah didapati kerana sebahagiannya keluaran lama yang tidak dijual lagi di pasaran.

“Bagi mendapatkannya, saya terpaksa membeli di portal beli-belah dalam talian seperti Ebay walaupun harganya mencecah ribuan ringgit untuk setiap unit.

“Nampak macam taasub tetapi kerana minat, saya sanggup malah tidak senang duduk jika gagal mendapatkan koleksi yang diinginkan,” katanya yang kini menetap di Petaling Jaya, Selangor.

Ahmad Rafhan berkata dia menyimpan semua koleksi kesayangannya dalam rak khas di rumah malah ada yang masih tidak dikeluarkan dari bungkusan asal.

Menurut Ahmad Rafhan, penjagaan rapi penting bagi mengelak kerosakan atau hilang disebabkan kecuaian.

“Saya amat sayangkan koleksi itu lebih-lebih lagi model Ferrari Racer (2007, 2008 dan 2009) dan Speed Machines (2010 dan 2011) yang sukar didapati ketika ini.

“Sebab itu, saya tidak meletakkannya di merata tempat tetapi menyimpan dan menyusun rapi di dalam rak simpanan,” katanya yang tahu membezakan Hot Wheels tulen dan tiruan sejak aktif sebagai pengumpul.

Ahmad Rafhan berkata, ada yang mempertikaikan minatnya itu namun dia tidak ambil pusing kerana tahu hobi berkenaan bukan sia-sia tetapi boleh menjana keuntungan pada masa depan.

Malah, hobi berkenaan turut memberinya peluang berkongsi pengetahuan dengan pengumpul tegar lain terutama mereka yang mempunyai minat sama.

“Memang ada rakan mempersoalkan tetapi saya tidak kisah kerana tahu pelaburan membeli permainan itu berbaloi dan bukan pembaziran.

“Buktinya, saya pernah cuba menjualnya di Facebook dan berhasil walaupun pada harga agak mahal.

“Jadi, saya tidak menyesal sebaliknya puas dan akan terus menambah koleksi dari semasa ke semasa,” katanya yang gemar membuat rujukan di Internet mengenai Hot Wheels.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 4:57 PM