RATUSAN identiti bunga ros yang dibekalkan menjadi tarikan utama.
RATUSAN identiti bunga ros yang dibekalkan menjadi tarikan utama.
Nurul Husna Mahmud

Ramai yang mengakui begitu obses mengumpul ros daripada pelbagai baka dan identiti kerana bunga berkenaan sarat dengan nilai keindahan semula jadi.

Bergelar pengumpul ros sejak lima tahun lalu, Norsadariah Mohd Shapiai tidak menafikan hobi itu mendorongnya menjadi pembekal dalam usaha membantu pemilik bunga berkenaan mendapatkan baka baru.

“Uniknya bunga ini mempunyai ribuan identiti mengikut baka setiap negara seperti Inggeris, Jepun, India dan sebagainya.

“Bagi pengumpul identiti ros, mereka mempunyai buku yang memaparkan semua jenis identiti dalam koleksi masing-masing.

“Kecenderungan atau minat mereka juga berlainan kerana setiap baka mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri,” katanya.

 SADARIAH menunjukkan cara menanam bunga ros di dalam pasu.
SADARIAH menunjukkan cara menanam bunga ros di dalam pasu.

Dia yang mesra disapa Adda dalam kalangan Kelab Peminat Taman Addarossa turut menyifatkan baka ros dibezakan berdasarkan ciri tertentu seperti kelopak, warna, batang, daun serta karakternya.

“Menariknya, terdapat ros Inggeris jenis memanjat dan cerap iaitu ditanam di atas tanah atau di dalam pasu.

“Antara keistimewaan berkenaan baka ini ialah baunya cukup harum tetapi kelopaknya mudah gugur.

“Ditambah pula iklim Malaysia yang panas berbeza dengan negara

asal baka berkenaan yang jauh lebih sejuk persekitarannya, sekali gus mempengaruhi saiz bunga berkenaan.

“Antara baka jenis ini yang sering mendapat perhatian ialah William Shakespear 2000, Juliet, Munsteadwood dan Jude De Obsecure.

“Sementara jenis memanjat pula ialah Crown Princess Magarita, Graham Thomas dan Huntington,” katanya.

 ADIK Sadariah, Siti Norhidayu merias pokok ros standard atau lebih dikenali dengan ros bonsai.
ADIK Sadariah, Siti Norhidayu merias pokok ros standard atau lebih dikenali dengan ros bonsai.

Norsadariah berkata, baka jenis ros Jepun dan India juga tidak kurang menariknya.

Ros jepun terkenal dengan varian warna unik seperti Yuzen, Hiyori, Catalina, Moncoeur dan banyak lagi.

Sementara baka India pula membabitkan Kalamakunta, Kalpana Chawla dan Abishek yang sering dicari pengumpul identiti ros.

Hybrid Tea pula ialah baka yang diperoleh menerusi cantuman baka tertentu dan kumpulan ros ini biasanya jenis cerap serta saiznya lebih besar sesuai untuk hiasan meja atau jambangan.

WARNA ros dipanggil Red Baccara atau ros cinta yang cantik dipandang.
WARNA ros dipanggil Red Baccara atau ros cinta yang cantik dipandang.

Norsadariah mengakui, penting untuk pemilik bunga mengenal pasti identiti ros berkenaan supaya penjagaannya dapat dilakukan dengan lebih baik.

“Dari segi penjagaan bunga ini, penyakitnya hampir sama untuk semua pokok iaitu serangga perosak selain air bertakung pada akar disebabkan medium tidak sesuai,” katanya yang turut membuka nurseri dinamakan Taman Addarosa di Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor.

Setiap kali nurseri itu membuka jualan dua minggu sekali, ratusan varian bunga ros dibawa masuk untuk peminat tanaman hiasan berkenaan.

 BUNGA ros mempunyai nilai keindahan tersendiri.
BUNGA ros mempunyai nilai keindahan tersendiri.

“Ketika itu juga, kami akan menawarkan 1,500 pokok dengan ratusan identiti baru.

“Varian berbeza diketengahkan yang secara tidak langsung memberi peluang kepada peminat ros melengkapkan koleksi tanaman itu dari semasa ke semasa,” katanya.

Malah Norsadariah turut merancang untuk membawa masuk banyak lagi baka termasuk ros Jerman dan Perancis dalam usaha memenuhi kepelbagaian permintaan peminat bunga itu.

Pada masa sama, keindahan ros itu tentunya menambahkan visual landskap menarik di taman.

BAKA ros hijau yang jarang ditemui.
BAKA ros hijau yang jarang ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 8:06 AM