ANTARA tanaman herba yang digunakan untuk memasak.
ANTARA tanaman herba yang digunakan untuk memasak.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Memanfaatkan halaman rumah dengan pelbagai tanaman dan sayuran bukan saja memberi kepuasan buat mereka yang meminatinya malah menghidangkan panorama indah dan menyejukkan pandangan.

Tambahan pula di tengah kesibukan bandar dan waktu terhad dek kekangan kerjaya, menjadikan hobi berkebun ini sebagai salah satu terapi untuk menenangkan diri sambil bersantai bersama keluarga tersayang.

Norsahida Md Saad, 40, antara yang menjadikan hobi berkebun sebagai salah satu cara untuk dirinya menyalurkan segala lelah dan tekanan di tempat kerja dengan aktiviti menanam pelbagai sayuran dan pokok bunga.

Menurutnya, dia cukup bertuah kerana turut mendapat sokongan penuh suami, Shaiful Hakim Zakaria untuk menghias halaman rumah mereka yang terletak di Presint 11 Putrajaya dan menjadikan ia sebagai aktiviti menyeronokkan buat seisi keluarga.

Selain pelbagai sayuran dan buah seperti mulberi, Norsahida turut menghiasi halaman rumahnya dengan pokok bunga bahkan sekali pandang, bahagian depan kediamannya bagaikan taman indah apabila dipenuhi pelbagai jenis bunga-bungaan segar khususnya ros dan petunia yang membuat hati tertawan.

TANAMAN dijaga rapi.
TANAMAN dijaga rapi.

“Selain menanam sayur-sayuran dan ulam-ulaman, menanam pokok bunga juga sudah menjadi minat saya sejak kecil dan malam menjadi waktu paling saya gemari untuk ‘bermesra’ dengan pokok bunga di laman landskap kami ini.

“Sambil menyiram, membaja atau sedikit penyelenggaraan, saya pasti mengubah kedudukan tanaman ini jika sudah bosan dengan reka letak sebelumnya.

“Kalau ada saudara-mara dan rakan yang berkunjung ke rumah kami, mereka begitu teruja melihat halaman dipenuhi sayuran dan bunga-bungaan dengan landskap ringkas.

“Tiada yang lebih menggembirakan kami sekeluarga apabila tetamu lebih selesa dan tidak segan bersantai di laman ini.

“Ini membuktikan landskap ringkas pun tetap menenangkan kerana ia begitu sinonim dengan alam,” katanya.

NORSAHIDA bijak menggunakan ruang terhad di halaman rumah dengan pelbagai tanaman.
NORSAHIDA bijak menggunakan ruang terhad di halaman rumah dengan pelbagai tanaman.

Menurutnya, berkonsepkan taman herba, dia menanam pelbagai herba untuk masakan harian seperti daun sup, kucai, selasih, kesum, cili, kunyit selain ulam dan mengakui ia sedikit sebanyak memudahkan tugasnya untuk memasak buat keluarga.

Ini kerana, tanaman itu terus boleh dipetik jika mahu digunakan dan tidak perlu membazir masa membelinya di kedai atau pasar raya.

Menurutnya, dia turut membekalkan benih tanaman kepada jiran tetangga malah menggalakkan komuniti di situ menanam pokok dan herba.

“Kawasan sekitar Putrajaya memang tiada nurseri jualan anak pokok jadi saya perlu membeli benih di Sungai Buloh sebelum membiaknya dan mengalihkan ke pasu.

“Oleh kerana kawasan halaman agak terhad, saya menanam pokok dalam pasu. Sebenarnya ia lebih mudah kerana tidak perlu risau semak dan senang untuk membersihkan kawasan ini,” katanya.

NORSAHIDA bijak menggunakan ruang terhad di halaman rumah dengan pelbagai tanaman.
NORSAHIDA bijak menggunakan ruang terhad di halaman rumah dengan pelbagai tanaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 3:12 PM