PENGGUNAAN meja makan yang cukup besar untuk menampung keluarga ketika majlis dijalankan.
PENGGUNAAN meja makan yang cukup besar untuk menampung keluarga ketika majlis dijalankan.
Muhamaad Razis Ismail


BUKAN satu perkara mudah terutama bagi seorang wanita yang perlu berdepan kontraktor untuk menguruskan kerja pengubahsuaian dan dekorasi tanpa keberadaan suami yang bertugas di luar kawasan.

Pengalaman ini dilalui suri rumah, Amy Asmidar Md Saad, 37, yang perlu melakukan perkara itu berikutan suaminya bertugas di pelantar minyak.

Pernah ditipu pereka hiasan dalaman yang membuat rekaan yang teruk membuatkan dia dan suami serik selain melakukan pelan perancangan sendiri.

Bagaimanapun, ia bukan halangan buat ibu kepada dua cahaya mata ini untuk memastikan proses pengubahsuaian rumah jenis Semi D berkeluasan 3,140 kaki persegi di Cyberjaya menepati konsep 'neutral' dan organik yang ingin diketengahkan.

Amy Asmidar berkata, selain perlu berurusan dengan kontraktor tanpa suami, dia juga sibuk dengan tanggungjawab terhadap anak-anak sehingga perlu menambah tenaga untuk menguruskan proses ubah suai rumah.

"Saya perlu merancang jadual sebaik mungkin supaya dapat menjaga kesihatan dengan baik. Saya mengatur waktu dengan bijak untuk menguruskan urusan rumah dan membabitkan diri dalam pengubahsuaian dengan bantuan keluarga atau sahabat," katanya.

Menurutnya, bukan mudah mewujudkan kefahaman kepada kontraktor bagi merealisasikan kehendak pemilik rumah.

"Saya sentiasa mencari solusi terbaik dan berkomunikasi dengan kontraktor secara terbuka dengan menyampaikan keperluan dan pilihan kami secara jelas dan terperinci. Sekiranya perlu, saya akan babitkan pihak ketiga seperti juruukur atau pakar untuk memberikan pandangan objektif.

"Saya juga mengambil inisiatif berlapang dada dan siap menerima jika berlaku esalahan atau salah faham serta mencari solusi yang dapat diterima bersama.

"Malah, saya menyedari bahawa proses ini memerlukan ketabahan dan kesabaran, tetapi akhirnya ia memberikan kepuasan serta kebahagiaan bagi saya dan keluarga," katanya.

Katanya, dia cenderung dengan mengetengahkan konsep 'neutral' dan organik yang mula diduduki pada November 2021 kerana ingin mencipta suasana tenang serta menyegarkan selain membuatkan suasana lebih 'hidup'.

"Kelebihan konsep ini, ia lebih mudah dipadankan dengan perabot dan warna lembut. Konsep ini juga memberikan kesejahteraan dan kesenangan kepada penghuni dengan suasana nyaman dan indah.

"Ia juga mudah diubah suai di masa hadapan sekiranya kami mahu melakukan perubahan yang lebih kontra," katanya.

Mengulas lanjut, proses pengubahsuaian dan dekorasi rumah yang dibuat sejak awal tahun lalu mengikut pelan perancangan yang terdiri daripada lima fasa dengan memberi perhatian yang teliti terhadap setiap ruang.

BILIK tidur utama diberi penekanan kepada penyimpanan  efisien dan susun atur perabot tidak terlalu membebankan ruang.
BILIK tidur utama diberi penekanan kepada penyimpanan efisien dan susun atur perabot tidak terlalu membebankan ruang.

"Sebagai contoh, di bilik tidur utama, kami memberi penekanan kepada penyimpanan yang efisien dan susun atur perabot yang tidak terlalu membebankan ruang serta pemilihan warna yang lembut.

"Kami memilih almari pakaian yang mempunyai banyak rak dan laci untuk menyimpan pakaian dan aksesori dengan teratur. Selain itu, kami memperhatikan fungsi setiap kawasan dalam bilik dan merancang dengan rapi untuk mengurangkan kos penyelenggaraan di masa depan" katanya.

Bagi ruang keluarga yang menjadi tempat berkumpul dan bersantai, pasangan itu menitikberatkan keselesaan dan suasana santai dengan pemilihan perabot yang nyaman seperti sofa dan kerusi empuk, pencahayaan yang baik serta memilih warna perabot yang menenangkan.

Untuk ruang makan, keluarga ini memilih meja makan yang cukup besar untuk menampung keluarga ketika majlis dijalankan dan mengatur perabot yang sedia ada dengan baik. Pencahayaan yang lembut dan dekorasi yang menyenangkan juga menjadi perhatian di ruang ini.

Amy Asmidar berkata, dapur adalah ruang yang paling digemari kerana banyak aktiviti yang berlaku di dalamnya, keutamaannya dalam perancangan ruang, berfungsi dan sebagai tempat untuk berkumpul.

"Ruang dapur diperluaskan untuk memberikan lebih banyak ruang bekerja dan kabinet penyimpanan. Kami memilih sendiri bahan dan peralatan yang berkualiti serta memperhatikan susunan dapur yang praktikal," katanya.

Berkongsi mengenai kepuasan yang diperoleh, bekas pensyarah ini puas kerana rumah yang diubah suai dan tatahias dapat mencerminkan identiti dan memenuhi keperluan mereka sekeluarga.

"Kami memilih setiap elemen rekaan dan hiasan berdasarkan apa yang benar-benar disukai dan sesuai dengan gaya hidup. Kelebihan lain adalah dapat melihat perubahan positif yang berlaku dalam rumah.

"Pengubahsuaian dan dekorasi memberikan suasana segar, keselesaan dan keindahan yang membuat kami tenang dan gembira di rumah. Dengan mempunyai ruang yang disesuaikan dengan keperluan, kami dapat menikmati setiap sudut rumah dengan bangga dan keselesaan.

"Kepuasan ini juga datang dari proses kreatif dan peribadi dalam membawa wujud idea dan melaksanakan konsep yang unik. Melihat transformasi rumah menjadi sesuatu lebih indah dan memenuhi kehendak kami memberikan rasa pencapaian yang memuaskan. Semua proses ini juga memberikan pengalaman dan kenangan yang bermakna buat kami sekeluarga supaya lebih menghargai dan bersyukur dengan semuanya sama

ada baik atau sebaliknya," katanya yang aktif berkongsi panduan menghias rumah di TikTok dan Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 7:00 AM