NORSAKINAH berjaya mengubahsuai kediaman untuk keselesaan keluarga.
NORSAKINAH berjaya mengubahsuai kediaman untuk keselesaan keluarga.
Muhamaad Razis Ismail


MELANGKAH masuk ke rumah teres setingkat di Manjung, Perak, tetamu akan dapat merasakan aura ketenangan dan kebahagiaan yang dinikmati penghuninya.

Apa tidaknya, dengan mengetengahkan konsep moden kontemporari, kediaman milik Norsakinah Ismail, 34, dan suaminya, Mohamad Syaffuan Mohamad Isa, 36, yang memiliki tiga bilik tidur ini diubahsuai dan ditata hias dengan kemas.

Pasti ramai yang tidak menyangka kediaman sekunder ('subsale') yang sudah berusia lebih tiga dekad itu berjaya diubah suai menjadi menarik.

Norsakinah mengakui pada mulanya dia kurang bersetuju membeli kediaman terbabit yang mengetengahkan reka bentuk lama selain memiliki saiz yang agak kecil.

"Oleh kerana ini rumah lama, kami mengambil kira kos untuk membaik pulih dan pengubahsuaian yang tinggi.

"Bagaimanapun, selepas berbincang dengan suami, kami membuat keputusan untuk membeli kediaman ini kerana harga yang murah selain lokasi strategik dengan membuat pengubahsuaian dibuat secara berperingkat," katanya.

Menurutnya untuk dekorasi dan pengubahsuaian, dia dan suami bersama-sama berkongsi idea dan pendapat.

"Pada masa sama, kami turut mendapat inspirasi daripada media sosial, rumah rakan dan jiran.

"Kami memilih konsep moden kontemporari kerana ia bersesuaian dengan saiz rumah. Kelebihan konsep ini membuatkan ruangan rumah nampak lebih luas," katanya.

Menurutnya, selepas proses urusan membeli rumah selesai, dia dan suami terus mengupah kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian yang mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.

"Antara kerja-kerja pengubahsuaian dibuat adalah mengubah kedudukan bilik dan dapur supaya ruang nampak lebih luas serta teratur. Dengan keluasan rumah 20 kaki x 60 kaki persegi, kami amat menitikberatkan ruang.

"Selain itu, siling di ruang tamu turut diubah suai kepada siling plaster 'L Box' untuk menyerlahkan konsep moden kontemporari yang diketengahkan di ruangan terbabit selain mewujudkan sempadan antara ruang tamu dan ruang makan," katanya.

PENGGUNAAN warna lembut memberi kesan lebih luas di dapur.
PENGGUNAAN warna lembut memberi kesan lebih luas di dapur.

Katanya, untuk mendapatkan kesan lebih luas, dia memilih untuk menggunakan warna lembut.

"Pemilihan warna ini juga dapat memberi kesan yang tenang dan mewah tanpa perlu mengeluarkan belanja besar," katanya.

Selain itu, dia amat menitik beratkan pemilihan jenis perabot.

"Kami hanya memilih perabot yang bersesuaian dengan ruang rumah. Sebelum membeli, kami akan ukur keluasan ruang dan barang yang ingin letak pada setiap ruangan.

"Untuk mengelakkan pembaziran, kami hanya membeli perabot yang penting dan dimanfaatkan setiap hari bukan hanya untuk nampak cantik semata-mata," katanya.

Norsakinah berkata, kediaman yang diubah suai bertujuan memberi keselesaan dan ketenangan kepada penghuninya.

"Keadaan rumah menjadi lebih cantik dan luas selepas diubah suai turut menjadi antara penyumbang kepada kegembiraan dan kebahagiaan kepada sesebuah keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 7:02 AM