SETIAP ruang dimanfaatkan dengan hiasan menarik.
SETIAP ruang dimanfaatkan dengan hiasan menarik.
Muhamaad Razis Ismail


DALAM bahasa Jerman, 'Schloss' membawa maksud istana atau rumah besar.

Mengimpikan rumah seperti istana, wanita yang bekerja dengan sebuah syarikat gergasi Jerman ini menamakan kediamannya sebagai Schloss 30669.

Sesuai dengan namanya, sebaik melangkah masuk rumah yang terletak di Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor ini penulis dapat rasa aura 'Schloss' seperti yang diinginkan pemiliknya.

Apa tidaknya, setiap ruang rumah banglo yang berkeluasan 4,000 kaki persegi ini dipenuhi pelbagai jenis perabot dan hiasan dari luar negara.

Ia bersesuaian dengan konsep klasik Perancis yang ingin diketengahkan Dewi Diana Nasir dan suaminya.

Biarpun sarat dengan perabot dan pelbagai hiasan, Dewi Diana bijak membuat susun atur dengan memanfaatkan setiap ruang supaya rumah nampak kemas dan luas.

Jadi, tidak hairan rumah yang mempunyai sembilan bilik ini pernah menjadi lokasi penggambaran drama bersiri beberapa tahun lalu.

Dewi Diana berkata, rumah ini dibeli pada 2014 kerana dia sangat menyukai kawasan kejiranan yang serasi dengan dirinya.

Katanya, pada ketika itu dia sudah membuat perancangan untuk membuat pengubahsuaian dalam merealisasikan rumah impiannya.

MENGETENGAHKAN konsep klasik Perancis.
MENGETENGAHKAN konsep klasik Perancis.

CERMIN besar untuk mendapat pencahayaan semula jadi.
CERMIN besar untuk mendapat pencahayaan semula jadi.

"Pada mulanya, saya ingatkan pengubahsuaian boleh dibuat dengan mudah, namun kontraktor maklumkan kos sangat tinggi berbanding meruntuh keseluruhan rumah.

"Oleh itu, kami buat keputusan untuk runtuhkan rumah sedia ada dan membina semula kediaman baharu mengikut rekaan yang saya inginkan. Rumah ini mula didudukinya pada awal 2016 biarpun belum disiapkan sepenuhnya atas beberapa perkara yang tidak boleh dielakkan," katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan, rumah ini mengambil masa lima tahun untuk disiapkan sepenuhnya termasuk proses dekorasi.

"Kerja menata hias dilakukan secara berperingkat dengan menjadikan aplikasi Pinterest sebagai rujukan. Dalam kerja dekorasi rumah ini, saya tidak mudah terikut-ikut dengan trend sekarang.

"Secara jujurnya, rumah kami ini tiada konsep tertentu. Bagaimanapun, saya lebih cenderung kepada dekorasi klasik Perancis kerana sering melancong ke negara di Eropah. Selain saya sudah terbiasa dengan majalah dekorasi dari England yang dilanggan arwah ayah sekitar tahun 80-an ketika masih bersekolah," katanya.

Katanya, dalam mendekorasi kediaman ini, dua elemen penting yang sentiasa berada dalam fikiran untuk mewujudkan rumah impian iaitu mempunyai

pendiangan

dan kabinet dapur berpulau yang dilengkapi dengan 'cooker hood' gaya Eropah.

DAPUR adalah antara ruang kegemaran Dewi Diana dan keluarga.
DAPUR adalah antara ruang kegemaran Dewi Diana dan keluarga.

CETUSAN idea banyak menerusi percutian Dewi Diana (tengah) dan keluarga ke luar negara.
CETUSAN idea banyak menerusi percutian Dewi Diana (tengah) dan keluarga ke luar negara.

"Aspek ini menjadi titik tolak untuk mendapatkan apa yang saya idamkan sehingga terhasilnya dekorasi ini," katanya.

Mengulas lanjut, jika dilihat sekeliling tata hias rumah ini, setiap sudut mempunyai sentuhan tersendiri.

"Majoriti perabot dan aksesori rumah ini rata-rata dibeli dan dibawa masuk dari United Kingdom dengan khidmat 'personal shopper'. Agak murah untuk mendapatkan perabot sentuhan gaya klasik Perancis terus dari Eropah berbanding di sini.

"Perabot tidak datang dalam set lengkap dan kebanyakan dibeli berasingan sesuai jiwa dan cita rasa saya," katanya.

Jelasnya, setiap ruang tidak dibiarkan kosong dengan setiap sudut pasti ada tempat duduk sama ada kerusi atau ottoman.

Dalam menghias setiap ruang dalam rumah, cermin, jam meja dan bunga orkid adalah aksesori utama.

"Bagi saya, dapur adalah tempat kegemaran kami sekeluarga, malah tetamu yang berkunjung juga gemar berborak di ruangan ini sambil menikmati juadah di dapur," katanya.

Dewi Diana berkata, memiliki rumah idaman dengan konsep yang diinginkan memberikan kepuasan yang tidak terhingga kepada dirinya dan keluarga.

"Biasanya apabila masa terluang, kami jarang keluar rumah kerana selesa berada di kediaman berbanding di hotel," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 7:01 AM