TUGAS hakikinya sebagai pensyarah kanan di sebuah universiti tempatan turut menuntutnya melakukan pelbagai eksperimen berkaitan patologi tumbuhan.
Menariknya, kecenderungan menjalankan eksperimen itu turut terjemahkan Dr Norsazilawati Saad, 39, bersama suaminya, Mohd Khairil Anwar Abdul Latif untuk mengubah suai dan menata hias kediaman yang dihuni bersama tiga anak mereka.
Jadi, tidak hairanlah rumah teres dua tingkat yang berkeluasan 2,688 kaki persegi ini dinamakan sebagai 'thescientieshome' (rumah saintis).
Dr Norsazilawati berkata, beliau dan suami suka menggabungkan pelbagai konsep dekorasi yang berlainan untuk kediaman mereka.
"Selain itu, kami sering bereksperimen dengan membuat pelbagai susun atur di satu-satu ruang sehingga menemui hasil yang paling praktikal yang dapat memberi keselesaan untuk pergerakan keluarga" katanya.
Untuk kediaman ini, beliau cenderung mengetengahkan konsep eklektik atau gabungan yang diolah dari pelbagai tema termasuk vintaj, kontemporari moden dan rumah desa.
"Saya memilih konsep ini kerana berpendapat tidak perlu mengehadkan dekorasi rumah pada satu-satu konsep sahaja.
"Kelebihan konsep eklektik ini, ia boleh diolah mengikut cita rasa sendiri sehingga dapat menghasilkan dekorasi unik dan mempunyai karisma yang tersendiri.
"Di samping itu, saya rasa lebih mudah untuk mencari barang hiasan dengan syarat kita pandai membuat suai padan," katanya.
Jelasnya, kerja pengubahsuaian kediaman bermula selepas dapat kunci rumah pada Mac 2019 secara berperingkat mengikut bajet dan keperluan yang dibuat secara terperinci.
"Kerja-kerja ubah suai pertama adalah pemasangan siling plaster dan pendawaian sebelum disusuli dengan pemasangan kabinet dapur.
"Paling terkini adalah pemasangan kabinet televisyen pada hujung tahun 2021. Saya dan suami bersepakat untuk membuat ubahsuai sedikit demi sedikit," katanya.
Menurutnya, inspirasi pengubahsuaian dan menata hias kediaman adalah dari rancangan dekorasi rumah seperti HGTV selain memperoleh idea dari rumah rakan di Instagram.
"Saya juga gemar memerhati dan mengambil gambar ketika bercuti termasuk di hotel, restoran dan kafe selain menjadikannya sebagai rujukan untuk menata hias kediaman," katanya.
Tambahnya, pemilihan rona semula jadi seperti putih, kuning atau krim dan warna kayu untuk kediamannya kerana mempunyai sifat yang menenangkan.
"Warna-warna semula jadi juga bersifat klasik dan berkekalan, selain senang dipadankan dengan hiasan lain," katanya.
Beliau juga cenderung menggunakan perabot yang mempunyai rona kayu yang seakan-akan sama untuk ruang tamu dan ruang makan untuk menampakkan ia konsisten.
"Perabot yang dipilih adalah yang cantik di mata selain mempunyai material dan kualiti yang bagus,"
katanya.
Dr Norsazilawati berkata, kepuasan sebenar dalam mengubahsuai dan menata hias kediaman adalah dapat memberikan fungsi di sesuatu ruang yang kemudiannya dimanfaatkan bersama dengan ahli keluarga.
"Sentuhan dekorasi di rumah juga akan menyebabkan tetamu berasa lebih dialu-alukan.
"Rumah yang kelihatan cantik secara tidak langsung akan mencipta suasana yang harmoni dan perasaan ini membuatkan usaha ubah suai serta dekorasi terasa berbaloi," katanya.