KEUNIKAN tanduk rusa mampu memiliki ramai peminat dalam kalangan tanaman hidup hiasan.
KEUNIKAN tanduk rusa mampu memiliki ramai peminat dalam kalangan tanaman hidup hiasan.
Nurul Sabrina Jamali


RUANG yang dulunya kedai dandanan rambut kini berubah wajah menjadi sebuah nurseri indah yang memikat pandangan jiran tetangga.

Jamaiyah Mohd Yusuff, 48, tidak menyangka pembukaan kedai tanaman bunga di kawasan kejiranan di Jalan Khamis, Meru, Klang, Selangor ini menghasilkan pendapatan lumayan.

Segalanya bermula ketika negara dilanda Covid-19 yang tanpa diduga mendorong Jamaiyah atau lebih mesra disapa Mimie untuk membuka kedai tanaman bunga mini di tapak kedai dandanan rambutnya.

"Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama, kedai dandanan rambut tidak boleh beroperasi, jadi saya runsing kerana duit yang ada lama-lama boleh habis juga," katanya.

Atas kudrat dan tenaganya sendiri, Mimie berjaya membuka kedai bunga dan tanaman hiasan dengan bantuan suami serta anaknya.

Kini, Mimie sudah mempunyai lebih daripada 50 jenis pokok yang dijual mengikut harga pasaran bunga dan tanaman itu.

Pada mulanya, dia hanya mengambil bunga Petunia dan Vinca daripada kebun pembekal bunga itu, tetapi semakin hari dia memberanikan diri mengambil lebih banyak jenis bunga dan tanaman untuk dijual.

Setiap pagi Mimie menyiram tanamannya bagi memastikan kesegaran dan ketahanan tanaman lebih kekal lama.

NURSERI mini perlu sentiasa dibersihkan untuk menarik perhatian pelanggan.
NURSERI mini perlu sentiasa dibersihkan untuk menarik perhatian pelanggan.

Harga yang ditawarkan mengikut pasaran bagi bunga dan tanamannya bermula RM5 hingga RM1,500 bergantung kepada jenis dan bentuknya yang unik.

Mimie akui, keindahan bunga petunia dan vinca dari permulaannya membuka kedai bunga hingga kini mempunyai permintaan yang tinggi.

"Bunga petunia dan vinca memiliki penggemarnya tersendiri kerana coraknya unik dan warna yang cantik," katanya.

Berkongsi lanjut, Mimie menjelaskan bunga vinca mempunyai tiga jenis iaitu vinca gantung, vinca separuh tegak (vinca tatu) dan vinca kampung.

MIMIE bersama bunga petunia yang memiliki warna menawan.
MIMIE bersama bunga petunia yang memiliki warna menawan.

"Harga bunga vinca separuh tegak agak mahal daripada bunga vinca yang lain kerana keunikan corak serta warna di tengah-tengah kelopak bunga itu," katanya.

Malah, antara bunga dan tanaman yang turut menjadi kegemaran pelanggan Mimie adalah bunga mawar, bunga bulan tiga (Hydrangea), bunga cattleya, bunga gincu, tanaman tanduk rusa, keladi, nanok, ivy English dan pokok sirih gading (Devil's Ivy).

Menurut Mimie, menggunting cabang yang rosak dan daun yang layu juga mempunyai cara tersendiri untuk mengekalkan ketahanan tanaman itu.

"Pada pandangan saya, tidak boleh sesuka hati memetik bunga atau tanaman, sebaliknya kita perlu menggunakan gunting yang tajam atau gunting berkebun," katanya.

ANTARA tanaman lain yang ada di nurseri mini Mimie.
ANTARA tanaman lain yang ada di nurseri mini Mimie.

Mimie turut memberi pendapat peribadinya, bahawa bunga kertas atau nama saintifiknya bougainvillea sangat sesuai dan popular di Malaysia sebagai tanaman hiasan laman bagi meraikan tetamu.

"Bunga kertas mempunyai keunikannya tersendiri selain mempunyai warna yang mempesona seperti merah, jingga, putih, merah jambu dan kuning," katanya.

Mimie juga mengakui, bunga petunia juga mendapat permintaan yang tinggi ketika musim perayaan.

Pada masa sama, dia turut berkongsi beberapa tanaman lain yang sesuai untuk musim perayaan antaranya adalah bunga cattleya, bunga gincu, pokok sirih gading dan pokok lili.

Kata Mimie, tanaman berkenaan sesuai untuk dihias di beranda rumah kerana kawasan itu kurang terdedah kepada cahaya matahari biarpun dalam persekitaran terbuka.

KEHIJAUAN tanaman di nurseri mini Mimie memukau pelanggan.
KEHIJAUAN tanaman di nurseri mini Mimie memukau pelanggan.

Sementara itu, pokok calathea dan pokok anthurium pula sangat sesuai sebagai tanaman hiasan atas meja makan atau di meja pejabat.

Justeru, Mimie turut menjelaskan jenis tanaman itu mempunyai dua cara penyelenggaraan. Antaranya menggunakan air atau sabut dan 'peat moss.'

"Jika mahu menggunakan air, cuci dahulu akarnya kemudian buang tanahnya baru masukkan dalam pasu kaca yang mempunyai air.

"Bagi penggunaan sabut dan 'peat moss,' cara penyelenggaraannya sama sahaja cuma perlu mencurahkan air yang secukupnya atas sabut dan 'peat moss' itu," katanya.

ANTARA tanaman lain yang menarik perhatian.
ANTARA tanaman lain yang menarik perhatian.

Mimie juga bersetuju dunia landskap seperti tanaman hiasan yang hijau dan segar akan memberikan kesegaran selain menambahkan kadar oksigen pada persekitaran.

Dia juga berpandangan dengan adanya tumbuhan itu kita dapat menghilangkan tekanan perasaan dengan keindahan corak dan warna yang ada pada tumbuhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 6:30 AM