BABAK lakonan Zul Ariffin dan Mimi Lana dalam drama Perempuan Itu. FOTO Instagram missmimilana
BABAK lakonan Zul Ariffin dan Mimi Lana dalam drama Perempuan Itu. FOTO Instagram missmimilana
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon Mimi Lana, 27, lega dan teruja menantikan tayangan drama Perempuan Itu yang mencetuskan kontroversi tahun lalu sehingga 'digantung seketika' yang akan menemui penonton mulai 1 Jun ini di aplikasi tonton.my.

Mimi menerusi hantaran di Instagram berkata, kontroversi yang berlaku terhadap drama itu memberi peluang kepada dia mempelajari banyak perkara untuk dijadikan iktibar dan sempadan dalam kehidupan.

"Selama saya menjalani penggambaran drama ini, saya sendiri banyak belajar hal-hal baru mengenai ilmu agama dan hak-hak sebagai seorang wanita di dalam rumah tangga.

"Paling penting adalah martabat dan tanggungjawab sebagai seorang wanita untuk hidup di dunia ini. Saya berharap penonton yang akan menonton drama ini juga sedikit sebanyak dapat manfaat dari isu sebenar ingin disampaikan," katanya.

Mimi atau nama sebenarnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin berkata, dia sangat sayangkan karya itu dan menyifatkan isi jalan ceritanya sarat dengan pelbagai pengajaran dan teladan.

"Yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Saya sangat sayangkan karya ini kerana isinya penuh dengan pengajaran dan teladan. Saya juga sangat sayangkan setiap satu orang yang terbabit di dalam karya ini.

"Saya harap semua orang dapat bersedia dan menerima dengan hati yang terbuka sebelum menonton. Yang baik itu datang daripada Allah SWT dan yang buruk itu datang daripada kami semua," katanya.

MIMI Lana dan Zul sebagai watak utama drama Perempuan Itu. FOTO Instagram missmimilana
MIMI Lana dan Zul sebagai watak utama drama Perempuan Itu. FOTO Instagram missmimilana

Pada tahun lalu, tercetus kontroversi membabitkan pelakon  Zul Ariffin yang memuat teaser klip 'babak panas' lakonannya bersama bakat baru, Siti Hariesa di dalam drama itu di Instagram pada 18 Mac. 

Ia mencetuskan kemarahan ramai membabitkan babak aksi Zul mendukung Siti Hariesa dan adegan wanita itu menyuap 'whipping cream' ke mulut Zul dengan aksi mengghairahkan.

Justeru, Zul dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang atas kesalahan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang bersifat sumbang mengaku bersalah dalam perbicaraan pada 4 Oktober tahun lalu dan diperintahkan membayar denda RM30,000.

Drama Perempuan itu yang sepatutnya ditayangka TV3 pada Ramadan tahun lalu itu mempunyai 30 episod dan diarahkanoleh Ain Sharif, manakala skrip ditulis pelakon, pengarah dan penerbit, Erma Fatima.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 9:59 PM