Najiy Jefri


"BUKAN sekali dua kami keluar bersama tetapi kerap. Malah sepanjang sebulan perkenalan dia sering meluahkan perasaannya."

Itu penjelasan Mona Syamimi Mohd Samsudin atau lebih dikenali sebagai Mimi yang didakwa mempunyai hubungan dengan penyanyi Shahir AF8 seperti yang tular baru-baru ini.

Mimi berkata, dia kesal apabila juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) itu mendakwa dia hanyalah peminat atau penyokongnya dalam AF Megastar.

"Bukan mahu memburukkan namanya tetapi saya terasa hati apabila selama ini dia hanya anggap saya sebagai peminat. Hampir setiap hari saya habiskan masa dengannya dan berbalas mesej. Takkan itu dikatakan sebagai peminat? Sungguh tidak masuk akal.

"Sepanjang perkenalan, dia ada meluahkan rasa rindu dan sayang menerusi kiriman WhatsApp yang dihantar. Dia juga seoalah-olah memberi harapan kepada saya namun tidak sangka apabila isu ini tular dia cuba mengelak. Saya tidak rasa ada mana-mana artis melayan peminat mereka sedemikian.

"Lebih baik dia beritahu kami hanya berkawan. Apabila perkara ini menjadi bualan, orang luar menganggap saya gila glamor dan sengaja meburuk-burukkan Shahir,” kata Mimi.

Luahan perasaan Mimi terhadap Shahir FOTO Facebook Mona Syamimi
Luahan perasaan Mimi terhadap Shahir FOTO Facebook Mona Syamimi

Mimi mengakui dirinya rasa dipermain dan dimalukan apabila Shahir mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Kami kerap keluar makan dan menonton wayang. Malah dia akan menjemput saya di rumah. Kami juga sering berbual menerusi aplikasi Facetime.

"Mustahil dia anggap saya sebagai peminat. Saya harap dia betulkan kenyataannya kerana perkara ini menjejaskan kerjaya saya," katanya.

Mimi berkata, sejak isu terbabit tular Shahir ada menghubunginya beberapa kali namun dia belum bersedia untuk bercakap dengan penyanyi itu.

Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan maklum balas Shahir menemui jalan buntu apabila dia tidak menjawab panggilan telefon mahupun pesanan WhatsApp.

Terdahulu, gambar Mimi bersama Shahir tular di media sosial sehingga penyanyi terbabit menjelaskan wanita yang bekerja sebagai pramugari itu sekadar peminatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 7:18 PM
Mimi dan Shahir luangkan masa bersama FOTO Facebook Mona Syamimi
Mimi dan Shahir luangkan masa bersama FOTO Facebook Mona Syamimi