ADHA bersama bunga petunia di laman rumahnya.FOTO Ihsan Adha Arffain
ADHA bersama bunga petunia di laman rumahnya.FOTO Ihsan Adha Arffain
Hafiz Ithnin

Pesona tanaman bunga yang diusahakannya bukan saja menjadi idaman penggemar pokok hiasan, tetapi ia menjadi terapi kepada lelaki berusia 37 tahun ini memulihkan masalah kesihatannya.

Bagi Adha Arffain, dia mengusahakan tanaman pokok berasal dari Switzerland Utara iaitu bunga vinca dan petunia sejak penghujung tahun lalu.

Katanya, dia mengalami kemurungan yang teruk sebelum itu melihat aktiviti tanaman bunga hiasan berkenaan amat membantu memulihkan masalah mental.

"Saya mengalami kemurungan yang teruk dan adik, Saqdam Zaim Arffain mencadangkan untuk menyertai bidang yang berkaitan dengan alam semula jadi sebagai terapi.

"Ternyata saranan beliau itu amat membantu apabila saya menjadi lebih tenang selain pada masa sama ia mendidik saya menjadi usahawan di dalam bidang ini," katanya.

KOLEKSI bunga vinca juntai pelbagai warna di Adoha Garden milik Adha. FOTO Ihsan Adha Arffain
KOLEKSI bunga vinca juntai pelbagai warna di Adoha Garden milik Adha. FOTO Ihsan Adha Arffain

Jelasnya, bunga vinca dan petunia mempunyai peminatnya tersendiri di Malaysia kerana ia mempunyai aura yang boleh menjadikan kediaman pemilik tampak mewah.

Katanya, walaupun untuk membeli benih kedua-dua bunga hiasan itu agak mahal kerana diimport dari luar negara, tetapi amat berbaloi memilikinya kerana mempunyai bunga yang cantik dan merimbun.

"Harga untuk biji benih vinca dan petunia ini sekitar RM1.20 sehingga RM 1.50 sebiji dan biasanya saya membeli dalam jumlah yang besar iaitu 9,000 biji.

"Uniknya, benih terbaik adalah daripada generasi pertama untuk mendapatkan hasil bunga yang cantik apabila ditanam," katanya.

BUNGA vinca yang merimbun dan sedia untuk dijual. FOTO Ihsan Adha Arffain
BUNGA vinca yang merimbun dan sedia untuk dijual. FOTO Ihsan Adha Arffain

Bekas jurutera itu berkata, pokok bunga vinca gantung terdapat tiga jenis iaitu yang tumbuh menegak, berjuntai dan separa berjuntai. Namun, Adha hanya mengusahakan jenis berjuntai.

Dari segi warna pula, pokok bunga vinca mempunyai 12 warna yang menarik antaranya merah, ungu, putih, merah jambu lembut, merah jambu terang dan peach.

"Untuk menanam vinca juga tidak mudah kerana ia mengambil masa tiga hari untuk bertunas selepas disemai di dalam media tanam jenis sabut kelapa atau dikenali sebagai Cocopeat.

"Walaupun, ia adalah baka dari luar negara, vinca adalah pokok yang begitu gemar kepada cuaca panas dan tidak memerlukan siraman air yang kerap. Apabila kelihatan sedikit layu baru kita perlu siram," katanya yang memiliki sekitar 900 pasu vinca.

ANTARA warna bunga petunia yang menjadi buruan peminatnya. FOTO Ihsan Adha Arffain
ANTARA warna bunga petunia yang menjadi buruan peminatnya. FOTO Ihsan Adha Arffain

Harga pasaran untuk vinca di pasaran bermula RM25 hingga RM100 bergantung kepada saiz, baka unik dan mutu.

Bunga petunia pula terdapat dua jenis iaitu 'easy wave' dan 'tidal wave' yang masing-masing mempunyai keunikan tersendiri.

Katanya, petunia jenis 'easy wave' mampu mengeluarkan bunga yang merimbun dalam jangka masa dua bulan, tetapi amat sensitif dengan keadaan hujan yang terlalu banyak akan memberi kesan kepada kesihatannya.

"Bagi petunia 'tidal wave' mengambil masa sekitar empat bulan untuk mempunyai bunga yang merimbun. Ia juga jenis lasak dan tidak mudah kena penyakit tanaman berbunga," katanya.

LAMAN rumah yang dihias ala Inggeris menjadi terapi minda di Adoha Garden. FOTO Ihsan Adha Arffain
LAMAN rumah yang dihias ala Inggeris menjadi terapi minda di Adoha Garden. FOTO Ihsan Adha Arffain

Ketika ini, Adha mempunyai sekitar 600 pasu petunia campuran kedua-dua jenis. Harga pasaran untuk petunia bermula daripada RM30 dan mampu mencapai ratusan ringgit sekiranya mempunyai kualiti, warna unik dan bunga yang merimbun.

Katanya, sebagai usahawan tanaman pokok hiasan itu, dia tidak terkecuali berdepan dengan cabaran serangga perosak iaitu ulat plutella yang memerlukan semburan racun untuk kawalannya.

Pada masa sama, jelasnya, dia juga perlu mencari ilmu mengenai penjagaan tanaman itu menerusi talian dan tidak sempat mengikuti sebarang kursus secara formal memandangkan pandemik Covid-19 melanda negara.

"Saya sejak awal memilikinya dengan membeli satu pasu di nurseri sehingga kini menjadi pembekal banyak mempelajari teknik penjagaannya menerusi dalam talian.

"Selain itu, di Malaysia juga mempunyai peminat yang berkongsi pengalaman penjagaan pokok ini di media sosial yang boleh sama-sama kita mendapatkan maklumat daripada mereka," katanya.

KONSEP gantungan pokok hiasan menjadi tarikan pembeli. FOTO Ihsan Adha Arffain
KONSEP gantungan pokok hiasan menjadi tarikan pembeli. FOTO Ihsan Adha Arffain

Sebagai pemilik nurseri pokok hiasan itu yang diusahakan di sekitar rumahnya seluas 3,500 kaki persegi, dia juga mengaplikasi teknologi siraman pintar.

Katanya, berbekalkan pengalamannya sebagai jurutera dia mencipta sistem siraman yang boleh dikendalikan hanya menggunakan telefon pintar.

"Apabila mempunyai tanaman bunga berskala besar ini, untuk menyiram secara manual agak payah dan lebih mencabar apabila kita perlu tinggalkan untuk beberapa hari.

"Jadi dengan menggunakan teknologi siraman pintar amat membantu saya untuk menyiram dari jarak jauh," katanya.

Adha berkata, ketika ini dia mampu meraih jualan sehingga RM25,000 sebulan menjual kedua-dua pokok itu menerusi platform dalam talian dan dipasarkan ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 4:33 PM