Persekitaran tempat tidur antara elemen penting untuk menjadikan ruang itu berfungsi sebagai tempat rehat utama.
Justeru, pemilihan elemen dalam menata hias ruang terbabit penting terutama ketika merujuk kepada ruang privasi atau bersantai bersama pasangan.
Tindakan menghias bilik tidur tanpa menitikberatkan faktor yang dapat meningkat kualiti dan mengoptimumkan keselesaan ketika tidur dilihat sebagai tindakan mempersiakan potensi ruang terbabit.
Sebaiknya kenal pasti elemen penting dalam rekaan bilik tidur yang baik. Berikut antara aspek boleh diberi penekanan untuk mewujudkan persekitaran tidur yang lebih menenangkan.
1. Tingkatkan elemen pencahayaan yang membantu lebih mudah tidur
Penggunaan rona kuning atau pencahayaan 'hangat' memberi ketenangan yang lebih mendalam dan berasa lebih selesa.
Ini juga membantu mewujudkan suasana selesa yang boleh mengurangkan perasaan negatif atau keresahan.
Satu kajian menunjukkan pencahayaan 'panas' berkesan dalam menenangkan warga emas yang keresahan berbanding suasana neutral.
Contoh lain ialah pencahayaan malap yang digunakan dalam kebanyakan spa untuk mewujudkan suasana menenangkan untuk melegakan tekanan.
Lampu gantung, 'downlight' dan pencahayaan sudut adalah pilihan yang bagus untuk menjadikan ruang tidur lebih romantis.
2. Pemilihan warna latar bilik dengan tona warna bumi atau semula jadi
Dalam pemilihan warna untuk bilik, rona hijau semula jadi antara membantu mewujudkan suasana relaks.
Begitu juga pemilihan rona biru tertentu memberikan suasana yang santai dan menyegarkan untuk minda dan tubuh. Penggunaan praktikal warna itu salah satunya dalam pemilihan kertas dinding bilik tidur.
3. Hadkan penggunaan perabot mengikut keperluan ruang
Sedikit lebih baik dan pemilihan perabot perlu mengikut kesesuaian ruang.
Jika terlalu banyak atau besar perabot digunakan tidak seimbang dengan nisbah keluasan bilik, ia mengundang rasa tidak selesa.
Susun atur termasuk kedudukan perabot perlu sesuai dengan keadaan bilik.