UNTUK menampakkan bilik yang lebih luas pilihlah rona yang cerah.
UNTUK menampakkan bilik yang lebih luas pilihlah rona yang cerah.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Bilik tidur adalah ruang privasi untuk anak-anak membesar dan menjalani kehidupan mereka sendiri.

Memiliki ruang peribadi yang selesa dan dihias menarik pastinya memberikan lebih inspirasi kepada mereka.

Berbanding anak perempuan, dekorasi untuk bilik anak teruna sebenarnya lebih ringkas dan mudah.

Namun, jangan ambil mudah dan ada beberapa panduan yang boleh digunakan ibu bapa bagi memudahkan proses dekorasi anak bujang masing-masing.

Menurut pereka hias dalaman, Farah Najiha Mohamad Yahya, dekorasi bilik anak lelaki biasanya lebih kepada konsep sama ada tema adiwira, angkasawan, haiwan (dinasor) dan sebagainya.

Dari segi pemilihan warna pula, Farah Najiha berkata, warna biru, kelabu, krim, coklat lembut atau warna semula jadi adalah pilihan rona yang selamat untuk bilik kanak-kanak lelaki atau anak teruna dan ia tidak perlu ditukar selalu.

"Bagi menjimatkan kos, tema yang ringkas dan praktikal sudah cukup, cuma ibu bapa perlu bijak bermain dengan pemilihan warna.

"Pemilihan hiasan dinding seperti kertas dinding dan perabot yang sesuai dapat menjadikan bilik anak-anak nampak lebih menarik," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Farah Najiha berkata, untuk dekorasi dinding bilik tidur seperti motif adiwira, angkasawan, planet, watak kartun atau dinasor biasanya bersifat sementara dan tidak lagi relevan apabila mereka meningkat dewasa.

Ia katanya boleh digantikan dengan kertas dinding yang boleh ditempah mengikut rekaan atau corak di diingini.

BILIK tidur adalah ruang privasi untuk anak-anak membesar dan menjalani kehidupan mereka sendiri.
BILIK tidur adalah ruang privasi untuk anak-anak membesar dan menjalani kehidupan mereka sendiri.

"Penggunaan cat juga praktikal dan sesuai digunakan. Perkara yang membezakannya adalah kos dan juga cara bagaimana ia digunakan untuk ruang terbabit.

"Ini kerana ia lebih mudah dan tidak memerlukan penelitian yang lebih ketika mengecatnya.

"Berbeza dengan kertas dinding, ia memerlukan penelitian untuk memasang, tetapi jika mengupah pakar, tidak akan ada masalah cuma ia memerlukan kos yang lebih," katanya.

Dalam pada itu, untuk pemilihan perabot, Farah Najiha menyarankan ibu bapa supaya membeli perabot yang boleh digunakan anak mereka dalam jangka masa panjang.

Kata Farah Najiha, bagi yang berkemampuan boleh sahaja memilih perabot mengikut tema, akan tetapi dalam dua atau tiga tahun pastinya tema bilik tidur anak akan bertukar seiring peningkatan usia mereka.

Katanya, jika ruang bilik terhad, ibu bapa perlu memilih perabot sesuai dengan keluasan yang ada.

"Jangan sesekali meletakkan terlalu banyak barang atau perabot ke dalam bilik anak yang kerana ia 'memakan' ruang yang ada.

"Untuk menampakkan bilik yang lebih luas, pilihlah rona yang cerah. Tip ini bukan untuk bilik sahaja tetapi boleh diguna pakai di ruang lain juga," katanya.

HIASAN ringkas dalam bilik anak lelaki.
HIASAN ringkas dalam bilik anak lelaki.

Sementara itu, Farah Najiha menyarankan ibu bapa supaya anak yang berkongsi bilik diberi ruang sama rata bagi mengelakkan mereka terasa hati.

Katanya, untuk susun atur pula jika ruang terhad, ibu bapa boleh memilih katil dua tingkat manakala jika ruang bilik lebih luas, bolehlah meletakkan dua katil secara berasingan.

"Jangan sesekali menggunakan warna yang gelap kerana ia boleh menampakkan ruang lebih sempit dan paling penting, pilihlah perabot yang sesuai.

"Selain itu, untuk memastikan bilik kekal bersih, pastikan anak-anak diajar mengenai aspek kebersihan dan jadikan rutin membersih bilik setiap minggu bersama anak-anak, ia boleh dimulakan sejak kecil lagi.

"Apapun, jangan lupa untuk menyediakan tong sampah kecil untuk mereka membuang sampah kering tanpa perlu keluar dari bilik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 7:00 AM