KONSEP moden kontemporari antara trend yang sesuai.
KONSEP moden kontemporari antara trend yang sesuai.
Muhamaad Razis Ismail
razis@mediaprima.com.my


PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara turut memberi kesan kepada trend reka bentuk dalaman (ID).

Jadi, tidak hairan di media sosial ramai yang berkongsi pelbagai konsep ID yang kebanyakannya dihasilkan sendiri.

Reka bentuk dalaman adalah penting bagi sesebuah kediaman supaya keperluan dan kesejahteraan penghuni rumah dapat dipenuhi berdasarkan perancangan ID yang bijak.

Rumah yang baik bukan sahaja nampak cantik dari segi visual, tetapi perlu juga bagus dari segi praktikal.

Perkara ini diakui oleh Pensyarah Pusat Pengajian Senibina Dalaman, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Syazwani Abdul Kadir.

Katanya, kini masyarakat lebih peka dengan kepentingan ID yang bagus dalam sesebuah rumah.

"Pandemik Covid-19 memberi ruang untuk masyarakat menyedari pentingnya keperluan tempat tinggal yang selesa, selamat dan menceriakan seisi keluarga.

MENGUTAMAKAN aspek kebolehsuaian dan fleksibiliti.
MENGUTAMAKAN aspek kebolehsuaian dan fleksibiliti.

"Pereka lebih memberi perhatian kepada reka bentuk fleksibel yang mampu menyediakan ruang bagi pelbagai aktiviti berlainan mengikut keadaan semasa.

"Trend ID sekarang juga lebih mengutamakan aspek psikologi dalam sesebuah ruang bagi memastikan kesihatan fizikal, mental dan emosi masyarakat pasca pandemik Covid-19," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, antara aspek yang ditekankan ialah pencahayaan semula jadi yang mencukupi, aliran pengudaraan yang bersih dan pemandangan serta hubungan dengan alam semula jadi.

"Selain itu, penghuni rumah turut mengambil kira aspek penjagaan tumbuh-tumbuhan di dalam rumah dan privasi yang dapat memberi keselesaan kepada mereka," katanya.

Bersesuaian dengan situasi semasa, beliau berpandangan konsep reka bentuk rumah yang dijangka menjadi trend pada tahun ini adalah moden kontemporari dan minimalis dengan mengutamakan aspek kebolehsuaian serta fleksibiliti.

"Ini membawa bermaksud sesuatu ruang itu boleh disuai pakai dengan keadaan atau keperluan yang berbeza.

ASPEK penjagaan tumbuh-tumbuhan di dalam rumah turut jadi pilihan.
ASPEK penjagaan tumbuh-tumbuhan di dalam rumah turut jadi pilihan.

"Sesebuah ruang boleh direka bagi tujuan pelbagai guna, contohnya ruang keluarga yang boleh diubah menjadi 'pejabat' apabila diperlukan.

"Untuk skema warna yang menjadi pilihan ialah warna lembut dan natural serta tidak banyak menggunakan corak," katanya

Bagi pemilihan perabot pula, penghuni rumah dilihat lebih cenderung kepada reka bentuk minimal dan mengutamakan keselesaan serta aspek ergonomik.

"Material dan warna dalam sesebuah ruang pula tidak perlu banyak supaya ruang kelihatan lebih tenang," katanya.

Tambahnya, trend konsep ini dilihat lebih universal dan mudah diuruskan, bersesuaian dengan gaya hidup masyarakat masa kini yang semakin sibuk.

Syazwani berkata, tidak dinafikan bahawa rujukan hiasan atau ID kini boleh didapati dengan meluas melalui media cetak mahupun atas talian.

WARNA lembut dijangka jadi pilihan pada tahun ini.
WARNA lembut dijangka jadi pilihan pada tahun ini.

"Namun, pakar ID mempunyai kemahiran ID yang mengambil kira aspek menyeluruh bagi kesejahteraan hidup penghuni sesebuah rumah.

"Tidak perlu risau dengan bajet kerana pada masa kini banyak khidmat ID yang menyediakan pelbagai pilihan pakej bersesuaian dengan bajet klien.

"Khidmat ID juga adalah pelaburan yang bagus bagi memastikan keselesaan ruang rumah yang optimum dan memberi kesan positif kepada kehidupan seisi keluarga. Kerosakan rumah yang disebabkan pengubahsuaian yang culas (tanpa merujuk khidmat ID) juga boleh dielakkan," katanya.

RAMAI cenderung memilih perabot yang lebih ergonomik.
RAMAI cenderung memilih perabot yang lebih ergonomik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 6:20 AM