BUNGA telipok antara tarikan di rumah ini.
BUNGA telipok antara tarikan di rumah ini.
BUNGA melur.
BUNGA melur.
ANTARA bunga yang menghiasi landskap.
ANTARA bunga yang menghiasi landskap.
TUMBUHAN hijau membentuk landskap yang menenangkan di rumah Zuraidah.
TUMBUHAN hijau membentuk landskap yang menenangkan di rumah Zuraidah.
Muhamaad Razis Ismail


LANDSKAP sering dianggap tidak lebih daripada sekadar untuk pengindahan sesuatu kawasan sahaja.

Sebaliknya, landskap mampu memberi impak lebih daripada itu termasuk menyumbang terhadap kesejahteraan hidup manusia.

Kini, ramai yang mula menyedari 'kuasa' landskap sebagai terapi untuk kesihatan dan kesejahteraan mental.

Jadi tidak hairan, trend membina landskap di rumah masing-masing mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini.

Melihat rumah milik Zuraidah Zainul Abidin, 46, dan keluarganya di Batu Pahat, Johor pasti membuatkan sesiapa sahaja teruja dengan landskap di halaman rumahnya.

Bermula sekadar hobi, sentuhan kreatif Zuraidah dan suami yang cenderung memilih pokok berdaun hijau atau tidak berbunga seperti pokok philodendron, colocasia, alocasia, pokok kelapa, pokok draco, paku-pakis dan kemoyang itu berjaya menghasilkan landskap yang memiliki aura tersendiri.

Lebih menarik, ada pokok renek yang berbunga seperti bunga cina, gardenia, kenanga, melur, akar dani dan 'fountain grass' berwarna ungu serta putih yang disusun kemas.

MEMBINA landskap menjadi platform kepada Zuraidah dan suami meluahkan kreativiti dan perasaan.
MEMBINA landskap menjadi platform kepada Zuraidah dan suami meluahkan kreativiti dan perasaan.

Biarpun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang landskap, perancangan rapi dibuat termasuk menyediakan pelan untuk memastikan susun atur pokok yang ditanam lebih teratur dan seimbang.

Ibu kepada empat anak ini berkata, rumah yang dinamakan Youhana Aeysha (sempena nama arwah anak bongsu yang meninggal dunia pada 2018) mula dibina pada awal Februari 2020 dan mereka mula berpindah pada Mei 2020 biarpun belum siap sepenuhnya.

Katanya, sebelum siap sepenuhnya, mereka mula menanam pokok di sekeliling rumah secara berperingkat.

"Sebelum memulakan proses menanam, saya dan suami sudah membuat perancangan serta lakaran awal landskap yang akan dibina.

"Kemudian proses menanam pokok dibuat secara berperingkat termasuk menggunakan pokok dari rumah sewa kemudian ditambah sedikit demi sedikit.

SUSUN atur tumbuhan dirancang lebih awal.
SUSUN atur tumbuhan dirancang lebih awal.

"Saya suka bereksperimen dengan tumbuh-tumbuhan. Semua pokok yang ditanam mengikut rasa hati kerana ia cara kami meluahkan kreativiti dan perasaan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pemilihan pokok bukan sekadar cantik, malah turut mengambil kira penyelenggaraannya.

"Kebanyakan pokok yang ditanam memerlukan tahap penjagaan rendah yang tidak perlu kerap dibaja, disiram dan dipangkas. Saya cenderung memilih pokok hijau kerana ia lambat luruh dan kekal lama selain dapat memberi ketenangan.

"Untuk susun atur, pokok berakar tunjang ditanam jauh dari rumah untuk mengelakkan mengganggu struktur rumah manakala pokok renek dan pokok herba ditanam dekat dengan kawasan rumah," katanya.

MEMANFAATKAN halaman rumah dengan menanam pelbagai jenis pokok.
MEMANFAATKAN halaman rumah dengan menanam pelbagai jenis pokok.

Mengulas berkenaan rutin penjagaan pokok, setiap seminggu sekali dia akan memeriksa keadaan pokok supaya sentiasa dalam keadaan baik.

"Daun pokok yang tua dan layu akan terus dipotong. Pokok hanya disiram mengikut keadaan cuaca dan baja ditabur pada setiap sebulan atau dua bulan sekali mengikut jenis pokok," katanya.

Secara peribadi dia berpendapat, landskap dapat memberi kepuasan tersendiri selain dapat memberi nilai estetika dan nilai tambah pada kecantikan kepada rumah.

"Melihat pokok yang sihat dan bunga yang cantik itu sendiri sudah menjadi satu terapi jiwa yang cukup istimewa. Hidup dikelilingi tumbuh-tumbuhan membuatkan kita rasa aman, tenang, nyaman dan sihat emosi," katanya.

LALUAN yang dibina khas.
LALUAN yang dibina khas.

Zuraidah tidak lokek berkongsi ilmu berkenaan landskap kerana mahu lebih ramai menanam lebih banyak pokok dan tumbuhan hijau.

"Kadangkala, saya turut bertukar-tukar benih pokok dengan kawan yang berkongsi minat sama.

"Jika diberi peluang dan lebih rezeki, saya mahu lebih serius dalam bidang ini dengan menjadi penjual dan pembekal anak pokok," katanya.

WARNA merah bunga kemboja menyerlahkan keunikan landskap di rumah ini.
WARNA merah bunga kemboja menyerlahkan keunikan landskap di rumah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 6:30 AM