MENGELUARKAN sinar kemewahan secara semula jika sepadan dengan aksesori hiasan.
MENGELUARKAN sinar kemewahan secara semula jika sepadan dengan aksesori hiasan.
Hafiz Ithnin


RONA memainkan peranan penting untuk menjadikan kediaman yang mendapat sentuhan dekorasi unik menonjolkan auranya tersendiri.

Namun ada kalanya, untuk memilih rona di dalam sesebuah kediaman menjadi sesuatu yang memeningkan kepala bagi sesetengah pemiliknya.

Tapi jika suatu rona yang dipilih mampu memberi kesinambungan dan kelihatan harmoni, pastinya sentuhan peribadi tanpa mengupah pereka hiasan dalaman profesional lebih bermakna.

Begitu juga bagi pasangan suami isteri Mohd Nor Irman Sulaiman, 36, dan Mazura Md Said, 37, yang memilih rona kegemaran mereka iaitu biru diraja sebagai satu titik fokal sekali gus tampak begitu mewah.

Sememangnya rona biru diraja agak gelap tetapi apabila diletakkan pada fabrik perabot yang bersinar, pasti mampu mengeluarkan aura kemewahannya secara semula jadi.

Apatah lagi, jika dikelilingi dengan rona mewah yang tidak seharusnya banyak tetapi menjadi 'pendamping' yang mampu mengeluarkan aura mewah biru diraja itu sendiri.

Mazura berkata, dia dan suami secara peribadi meminati rona biru diraja tetapi tidak mahu menjadikan kediaman mereka kelihatan 'serba biru.' Namun, ingin menonjolkan kehebatan rona itu di ruang tamu berkeluasan sekitar 400 kaki persegi.

"Saya dan suami memang sepakat untuk memilih satu rona yang mampu memukau pandangan apabila masuk ke ruang tamu ini dan kami memilih biru diraja kerana ia sememangnya mampu menonjolkan aura tersendiri.

"Jadi, kami hanya membeli set sofa jenis chesterfield yang dilengkapi tiga tempat duduk dan kerusi ottoman. Selain itu, set kerusi meja makan juga mempunyai rona yang sama," katanya.

Jelasnya, pemilihan dinding berwarna putih ternyata menjadi kerana ia mampu menonjolkan warna fabrik perabot berkenaan.

HIASAN hasil inspirasi dari laman sosial.
HIASAN hasil inspirasi dari laman sosial.

SET meja makan dan sofa yang mempunyai rona biru diraja.
SET meja makan dan sofa yang mempunyai rona biru diraja.

"Warna putih ini bukan sahaja mampu menjadikan ruang tamu kami lebih luas tetapi ia hadir sebagai 'pembantu' untuk menonjolkan rona yang digemari kami iaitu biru diraja.

"Untuk menjadikan ruang tamu lebih harmoni supaya rona perabot berada dalam keadaan tunggal di ruang berkenaan, kami juga memilih aksesori di sekelilingnya yang mempunyai sedikit warna biru diraja," katanya.

Katanya, antara aksesori yang mempunyai sedikit warna biru diraja ialah lukisan abstrak di dinding dan permaidani di ruang berkenaan.

"Selain itu, di ruang tamu kami mempunyai sebuah akuarium yang dilimpahi dengan cahaya kebiruan supaya ruang ini kelihatan lebih harmoni.

"Ternyata sentuhan peribadi kami menjadi tanpa menggunakan khidmat profesional sehingga ada tetamu yang bertanya mengenai siapakah juru hiasan dalaman yang kami lantik," katanya.

Tidak sekadar itu, Mazura berkata, kediaman teres dua tingkat yang dimilikinya sejak 2019 itu turut mempunyai aksesori berwarna emas.

"Bagi mengharmonikan

lagi aksesori berwarna emas itu, suami mengecat rel tangga dengan warna yang sama supaya ia mampu mewujudkan kesinambungan warna," katanya.

Tambahnya lagi, dia dan suami banyak menjadikan laman

sosial dan web sebagai rujukan dalam hiasan dalaman kerana ketika ini banyak perkongsian mengenai aktiviti itu

yang boleh dilakukan sendiri.

"Selain itu, saya juga minta pandangan adik beradik yang gemarkan aktiviti menata hias kediaman ini terutama dalam pemilihan warna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 7:00 AM