FOKUS mata yang memandang.
FOKUS mata yang memandang.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


CERMIN dahulunya satu keperluan untuk membantu individu mendandan diri tetapi kini fungsi aksesori itu melangkaui keperluan apabila menjadi penyeri hiasan ruang dalaman.

Efek dimiliki cermin bukan sahaja membantu dalam memberi ilusi kediaman tampak lebih luas, malah ada ketika ia penting dalam meningkatkan seri ruang apabila berkemampuan memantulkan cahaya.

Menurut Pengasas Ideko Fatin Nasuha Jaafar, penggunaan cermin hiasan ketika ini bagi peminat hiasan dalaman dan pemilik kediaman dilihat sebagai trend terutama dalam meningkatkan seri dinding yang kosong.

"Dulu cermin digunakan untuk gayakan penampilan diri tetapi kini ramai yang membeli cermin untuk gayakan rumah supaya nampak menarik.

"Cermin boleh bantu ruang yang sempit nampak luas. Bagi ruang yang gelap dan kurang pencahayaan pula, pemasangan aksesori dekorasi berkenaan membantu tingkatkan pencahayaan semula jadi dalam rumah," katanya,

Kata Fatin Nasuha lagi, perkembangan mengenai rekaan cermin juga sudah berubah dan mempunyai pelbagai bentuk serta jenis berikutan peminat dekorasi mahu aksesori itu lebih versatil selain mempunyai nilai estetik.

"Biasanya dalam pemilihan cermin hiasan yang sesuai, beberapa aspek perlu diberi perhatian supaya pemilik kediaman dapat mencapai objektif mereka daripada segi penggunaan atau kesesuaian dengan konsep deko ruang dalam rumah.

FATIN turut membantu pemasangan cermin hiasan.
FATIN turut membantu pemasangan cermin hiasan.

"Bagi ruang dalam rumah yang suram dan kurang pencahayaan potongan dan rekaan cermin tertentu dapat meningkatkan pencahayaan dalam ruang terbabit.

"Cermin boleh memantulkan cahaya dan kerana sifat itu boleh membantu menyebarkan cahaya diperlukan ruang terbabit," katanya.

Mengenai gaya atau konsep dipilih, Fatin menyarankan supaya pemilik kediaman melihat dahulu kesesuaian ruang selain konsep hiasan diinginkan.

"Biasanya bagi pemilik kediaman bertemakan glamor dan mewah, saya sarankan mereka menggunakan cermin dengan kemasan bingkai berwarna emas atau menyerupai bentuk berlian untuk naikkan aura 'mewah' pada ruang kediaman.

"Sementara yang mahukan padanan dengan panel dinding, saya sarankan mereka gunakan cermin rata atau 'beaver' untuk bantu ruang nampak 'lebih sleek' dan kemas.

"Kelebihan cermin yang rata ini ialah ia memang didatangkan dalam pelbagai reka bentuk dan ramai sudah pandai lakukan sendiri (DIY) kerana mahu konsep tersendiri selain menepati tema hiasan," katanya.

Kaedah DIY dalam pemasangan cermin hiasan cukup membantu kerana bersesuaian dengan kemampuan pemilik kediaman.

EFEK pencahayaan yang baik apabila memantul cahaya dari sumber ke segenap ruang.
EFEK pencahayaan yang baik apabila memantul cahaya dari sumber ke segenap ruang.

CERMIN kemasan emas dan berlian untuk deko mewah.
CERMIN kemasan emas dan berlian untuk deko mewah.

"Biasanya boleh disesuaikan dengan keluasan, konsep ruang serta paling utama ialah bajet yang mana pemilik kediaman boleh kawal kos perbelanjaan untuk hias cermin terbabit.

"Namun untuk mengelak sebarang pembaziran pendapat peribadi saya, pemilik kediaman menetapkan dahulu bajet dan kemudian membuat ukuran keluasan ruang.

"Bagi ruang tamu atau ruang makan biasanya ukuran cermin hiasan 1 meter x 1 meter sudah memadai untuk beri fokus terhadap ruang berkenaan," katanya.

Tambah Fatin lagi, ketika ini trend terbaharu dalam penataan cermin hiasan ialah cermin jenis

'honey comb' menjadi pilihan kebanyakan pemilik kediaman untuk diletakkan di dinding laluan utama dalam rumah atau di bahagian ruang tamu serta makan.

" Dalam kalangan pelanggan aksesori dekorasi rumah kebanyakan mereka mahukan cermin rata untuk DIY selain rekaan jenis 'honeycomb," katanya.

Bagi ruang bilik pula biasanya cermin rekaan tipikal seperti bulat atau empat segi menjadi pilihan.

Ruang yang sempit, biasanya disarankan memilih cermin gantung sementara bilik yang lebih selesa serta luas, boleh tempatkan cermin berdiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 6:27 AM