RUANG tamu yang tersusun kemas dengan padanan rona lembut menjadi latar. FOTO Ihsan Norshida Ahmad
RUANG tamu yang tersusun kemas dengan padanan rona lembut menjadi latar. FOTO Ihsan Norshida Ahmad
Hafiz Ithnin

Melangkah masuk ke kediaman pasangan Ameezan Jamal dan Norshida Ahmad ini ibarat dibawa 'mengembara' ke sebuah percutian peribadi mereka.

Mana tidaknya, Norshida sendiri memberitahu penulis setiap barangan terisi dengan memori indah ketika mereka bercuti ke luar negara.

Bukan untuk bercerita mengenai pengalaman mereka mengembara ke luar negara tetapi detik bersama keluarga ketika bercuti diabadikan sehingga ke rumah yang mempunyai konsep 'transitional' iaitu gabungan antara kontemporari dan tradisional.

Sememangnya berada di dalam rumah mereka terasa begitu tenang apatah lagi melihat pelbagai aksesori yang dibeli dari luar negara yang mempunyai kisahnya tersendiri.

Antaranya kisah si tombol pintu kabinet yang cantik dimilikinya dibeli secara 'tidak sengaja' di Dubai sementara menunggu anak-anak menghabiskan makanan. Jadi apabila melihat sesuatu barangan yang unik, pasti ada kisah menarik di sebaliknya. Tidak kurang terisi dengan kisah lucu.

Bagi Norshida, dia memilih konsep 'transitional' untuk kediaman tiga tingkat bersaiz 3,479 kaki persegi itu kerana melihat gabungan serasi antara elemen kontemporari dan tradisional menjadikan ruang sentiasa malar segar dan tidak lapuk walaupun bertahun.

KABINET dapur yang mempunyai ciri- ciri ‘transitional.’ FOTO Ihsan Norshida Ahmad
KABINET dapur yang mempunyai ciri- ciri ‘transitional.’ FOTO Ihsan Norshida Ahmad

Katanya, dia mendapat idea untuk mengetengahkan konsep itu ketika masih menuntut di Amerika Syarikat dan menjadikan laman web memaparkan dekorasi 'transitional' sebagai rujukan. Ia bagi memastikan susun atur dan permainan warna di dalam kediaman tidak kelihatan canggung apabila dipadankan.

"Padanan dekorasi ini dilakukan bersama suami dan pemasangan seperti kabinet serta perabot adalah daripada pakar. Bagaimanapun agak sukar pada mulanya untuk memaklumkan kepada kontraktor mengenai konsep 'transitional' yang diinginkan kami terutama kabinet dapur memandangkan mereka menyangka 'transitional' itu adalah tradisional semata-mata," katanya.

Sememangnya ketika berada di dalam dapur itu, penulis dapat merasakan cita rasa yang tinggi si pemilik kerana ia begitu kemas, segar dan tampak mewah. Apatah lagi rona biru dan putih serasi diadun bersama di ruang itu.

"Disebabkan itu, kami agak cerewet bagi memastikan kontraktor yang membuat kabinet ini memahami konsep dan kekemasan yang diinginkan," katanya.

Jika sebelum ini, penulis yang gemar menulis mengenai konsep kediaman minimal yang diminati orang bujang kerana lebih tampak luas dan ringkas, berada di kediaman pasangan itu seakan-akan memberi inspirasi baru jika sudah berkeluarga.

Konsep 'transitional' yang dipilih pasangan itu tepat menunjukkan rasa berada di dalam sebuah kediaman berkeluarga tetapi tidak sarat dengan pelbagai hiasan terutama berbunga-bungaan yang kerap menjadi pilihan ibu-ibu.

PADANAN kepala paip dan penggantung tuala tangan yang tampak mewah. FOTO Ihsan Norshida Ahmad
PADANAN kepala paip dan penggantung tuala tangan yang tampak mewah. FOTO Ihsan Norshida Ahmad

Norshida berkata, konsep 'transitional' itu dapat menjadikan kediamannya tampak ringkas, tidak sarat dan paling penting dapat mewujudkan konsep kediaman untuk keluarga yang selesa.

Meskipun kediamannya didominasi jiwa Adam kerana kedua-dua anak bujangnya lelaki tetapi kediaman ringkas tidak juga dizahirkan dengan begitu maskulin.

"Di dalam rumah ini saya seorang sahaja perempuan. Jadi saya perlu mendapatkan satu konsep yang mempunyai aura kekeluargaan yang seimbang antara cita rasa wanita dan lelaki, jadi memilih konsep 'transitional' ini adalah paling tepat.

Pemilihan rona putih sebagai warna dinding juga menjadikan perabot dan aksesori dimiliki keluarga itu tampak kemas, luas dan dalam masa yang sama perabot mempunyai elemen kontemporari nyata menonjolkan suasana tenang. Tidak sekadar memberi perhatian di ruang tamu dan dapur, pasangan itu juga mementingkan elemen kekemasan di bilik air.

Menjenguk kamar peribadi itu terasa berada di dalam bilik air hotel mewah kerana terdapat padanan kepala paip dan tempat penyangkut tuala tangan berona gangsa berkilat. Apatah lagi marmar berwarna putih dan kelabu mendominasi latarnya ternyata dua ciri itu menonjol apabila digabungkan bersama. Malah Norshida juga antara peminat pinggan porselin yang mempunyai elemen antik dibeli dari pelbagai lokasi kerana baginya sentuhan pembuatan pinggan porselin lama turut mempunyai nilai sentimental unik.

PANCURAN air berwarna gangsa menonjolkan elemen eksklusif di dalam bilik mandi. FOTO Ihsan Norshida Ahmad
PANCURAN air berwarna gangsa menonjolkan elemen eksklusif di dalam bilik mandi. FOTO Ihsan Norshida Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 7:00 AM