GABUNGAN rona yang serasi dalam hiasan kediaman milik Effendi dan Norhafiza.
GABUNGAN rona yang serasi dalam hiasan kediaman milik Effendi dan Norhafiza.
Hafiz Ithnin


SEMEMANGNYA rona boleh mempengaruhi sesebuah kediaman. Malah, ia juga boleh dijadikan konsep utama dalam menata hias untuk ruang.

Perkara itu yang ditonjolkan pasangan suami isteri, Effendi Md Yusof, 44, dan Norhafiza Hamdan, 38 dalam menjadikan warna sebagai identiti untuk kediaman yang dimiliki pada tahun lepas.

Ternyata, putih, hitam dan rona alam menjadi intonasi harmoni apabila Norhafiza mengirimkan beberapa foto kediamannya kepada penulis.

Norhafiza berkata, dia dan suami mempunyai minat yang sama dan sukakan rona kediaman bertemakan putih kerana ia menonjolkan rasa yang tenang, meluaskan ruang dan paling utama ruang privasi untuk mereka sekeluarga tampak bersih.

Katanya, kediaman berstatus sekunder yang dimiliki mereka tidak banyak memerlukan sentuhan kontraktor untuk renovasi kerana elemen asalnya sudah mencukupi.

Jelasnya, hanya di bahagian dapur dan lantai menggunakan khidmat kontraktor untuk memberi nafas baharu kepada kediaman itu.

PEMILIHAN rona perabot yang serasi dengan warna dinding.
PEMILIHAN rona perabot yang serasi dengan warna dinding.

"Saya mendapat inspirasi kediaman ini daripada sebuah laman sosial yang menonjolkan kediaman penghuni yang tampak kemas dengan rona putih.

"Selain itu, susunan perabot yang digunakan juga tidak begitu sarat. Ia menjadikan saya dan suami setuju untuk mempunyai konsep rumah serba putih atau bermain dengan rona alam yang lembut," katanya.

Dalam keterujaan pemilik kediaman masa kini yang memilih untuk mempunyai hiasan panel dinding atau 'wainscoting', namun pasangan itu lebih cenderung untuk membiarkan dinding dalam latar polos.

RUANG kerja yang lengkap dan privasi.
RUANG kerja yang lengkap dan privasi.

Jika ada pun, hiasan dinding hanyalah bingkai gambar dan juga peta dunia di bilik anak-anaknya yang berhampiran dengan ruang belajar.

BILIK anak-anak yang kemas dan mempunyai sudut bacaan.
BILIK anak-anak yang kemas dan mempunyai sudut bacaan.

Menjelaskan mengenai dekorasi dapurnya, Norhafiza berkata, dia membeli kabinet dari IKEA yang membolehkan mereka melakukan pemasangan sendiri dan ia juga menjimatkan kos.

"Di IKEA terdapat perkhidmatan membeli perabot yang membolehkan kita untuk memilih jenis produk yang sesuai dengan bajet.

"Jadi, suami saya juga boleh memasangnya sendiri dan sudah semestinya dapat mengurangkan kos khidmat pemasangan," katanya.

BILIK anak-anak yang kemas dan mempunyai sudut bacaan.
BILIK anak-anak yang kemas dan mempunyai sudut bacaan.

Katanya, pada ruang dapur dia dan suami juga memilih hanya dua rona warna mendominasi iaitu putih dan warna kayu.

"Hanya di ruang makan sahaja kami memilih jubin bercorak tetapi masih mempunyai rona putih latar belakangnya supaya ia menjadi titik fokal," katanya.

Malah, pasangan itu juga mempunyai satu ruang khas yang dijadikan tempat untuk bekerja dari rumah yang lengkap.

Norhafiza berkata, dalam keadaan pandemik Covid-19 yang memerlukan mereka sekeluarga sentiasa berada di rumah termasuk untuk bekerja, ruang kerja itu membantu untuk dia dan suami berada di tempat yang privasi ketika bertugas.

Selain itu, pasangan itu juga tidak mempunyai perabot yang sarat di ruang tamu kerana gemar kepada konsep ringkas.

Jelasnya lagi, mereka juga memilih warna perabot yang mempunyai kesinambungan tema rona dinding iaitu bermain dengan warna bumi yang lembut.

"Apabila memilih warna putih di dalam kediaman, ia mudah untuk disuaipadankan dengan pelbagai jenis perabot.

"Meskipun rona itu bersifat universal tetapi saya dan suami memilih warna perabot yang tidak terlalu menonjol supaya nampak keserasian warna di dalam rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 7:00 AM