Perbezaan
Perbezaan
Hafiz Ithnin


BAGI rumah yang mempunyai tangga, kadangkala pemilik terlepas pandang mengenainya. Cukup sahaja asal boleh memberi fungsi untuk ke bahagian yang menjadi penghubung, ia dilihat sudah memadai.

Pensyarah Program Seni Bina, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Mohd Hafizal Mohd Isa berkata, sebenarnya tangga juga antara elemen yang boleh menaikkan seri kepada hiasan dalaman.

Jelasnya, bagi pemilik yang kreatif atau tahu mengenai kemampuan tangga dalam rumah untuk mewujudkan pesona, pastinya elemen pembinaan itu diberi perhatian.

"Tangga ini mampu memberi pesona tersendiri jika kita bijak menghiasnya, tetapi masih mengekalkan fungsi dan faktor keselamatan.

"Malah tangga juga boleh menjadi salah satu elemen titik fokal dalam rumah seperti pemilihan warna lantai dan susur tanggan. Dalam masa ketika menghias tangga, membantu kita untuk lebih mengetahui fungsi dan keselamatan kepada penghuni," katanya.

Justeru, Dr Mohd Hafizal berkongsikan beberapa tip dalam menghias tangga kepada pembaca Dekotaman kali ini.

1. Kemasan tangga

Kebiasaannya jubin dipilih sebagai bahan utama permukaan tangga. Jubin yang dipilih perlu jenis permukaan kesat dan tidak licin. Jubin pelbagai warna boleh dipilih untuk membentuk bingkai pada tangga supaya kelihatan lebih elegan.

Selain jubin, kemasan kayu juga popular. Kayu keras dan padat boleh digunakan untuk tangga atau penggunaan kayu berlamina untuk menutup tangga sedia ada. Penggunaan kayu berwarna coklat atau hitam memberikan sentuhan mewah kepada tangga yang dihasilkan.

2. Cat

Tangga juga boleh diserikan dengan cat yang tidak licin selain dari cat minyak. Warna gelap pada tangga seperti hitam dan kelabu gelap memberi kesan kontras yang ketara jika dipadankan dengan warna dinding putih atau warna cerah.

Cat juga boleh digunakan untuk membuat lakaran corak abstrak pada tangga atau boleh melabel setiap anak tangga dengan nombor dan sebagainya.

Tangga
Tangga

3. Pengubahsuaian tangga licin

Terdapat rumah yang dibeli memiliki tangga yang mempunyai permukaan licin. Jadi, apa yang perlu dilakukan bagi mengatasi masalah ini? Pengguna boleh memasang 'step nosing' pada bucu anak tangga bagi mewujudkan tekstur kasar untuk mengelak daripada licin. Selain itu, tangga juga boleh dipasang pita pelekat anti licin yang boleh dibeli di kedai barangan peralatan pertukangan atau lakukan sendiri (DIY).

Permaidani atau 'runner' juga boleh dipasang pada tangga. Permaidani ini mampu untuk menaikkan seri tangga melalui warna dan corak yang dipilih. Kebiasaannya warna kontra dipilih atau bercorak jalur.

4. Susur tangan

Selain bagi tujuan keselamatan, susur tangan mampu untuk menaikkan seri tangga. Bagi yang gemarkan tema yang moden dan minimalis, susur tangan kaca atau besi nipis menjadi pilihan. Bagi yang bercita rasa klasik dan tradisional, penggunaan kemasan kayu berukir boleh digunakan.

Selain itu, bagi penggemar seni tata hias yang lebih 'rustic', penggunaan batang kayu yang dirawat juga boleh digunakan. Tekstur pada kayu ini mampu membangkitkan suasana.

Hiasan
Hiasan

5. Rod besi

Rod besi adalah salah satu elemen reka bentuk yang mampu membangkitkan seri tangga. Selain berfungsi sebagai penghalang keselamatan, elemen reka bentuk ini mampu memberi kesan tinggi pada ruang tangga.

Penggunaan rod besi juga mampu untuk membantu dalam penyerakan cahaya ke ruang dalaman. Antara bahan lain yang boleh digunakan selain rod besi adalah kayu.

6. Lampu

Pencahayaan adalah elemen penting bagi ruang tangga untuk mengelakkan kecederaan pada pengguna.

Lampu boleh dipasang pada susur tangan atau pada anak tangga itu sendiri. Hal ini memberikan kesan mewah dan elegan pada tangga itu.

7. Tangga mesra warga emas

Bagi warga emas yang merancang untuk membeli rumah dua tingkat atau lebih, tip ini boleh diaplikasikan bagi memudahkan penggunaan tangga pada usia emas.

i) Mengurangkan ketinggian setiap anak tangga. Tenaga yang lebih digunakan untuk naik jika ketinggian anak tangga lebih tinggi.

ii) Meletakkan bangku kerusi pada 'landing' bagi tujuan istirahat untuk melepaskan lelah.

iii) Permukaan anak tangga yang lebih lebar boleh direka bentuk dan elak daripada meletakkan permaidani atau 'runner' pada tangga.

iv) Dengan penglihatan yang terhad, pemilihan warna yang kontra pada permukaan pijak dan dinding tangga penting dalam memberi maklumat kedudukan permulaan tangga serta bucu

hujung setiap anak tangga.

v) Pemilihan permukaan bahan yang kesat atau meletakkan pelekat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 6:55 AM