PILIH jubin tahan panas untuk kawasan yang terdedah kepada haba.
PILIH jubin tahan panas untuk kawasan yang terdedah kepada haba.
KINI latar dinding jubin mampu tampil sebagai latar utama.
KINI latar dinding jubin mampu tampil sebagai latar utama.
JUBIN sarat corak pula boleh dipasang di kawasan luas.
JUBIN sarat corak pula boleh dipasang di kawasan luas.
JUBIN menjadi pelengkap kemasan lantai di bahagian luar rumah.
JUBIN menjadi pelengkap kemasan lantai di bahagian luar rumah.
Oleh Rashidah Ibrahim


Jubin menjadi pilihan ramai kerana terdapat pelbagai warna dan corak yang boleh disuai padan mengikut kehendak pemilik kediaman.

Kepelbagaian itu memudahkan kerja untuk mewujudkan reka corak dan tema kediaman.

Menerusi jubin, tarikan ruang boleh dibentuk dengan kaedah bermain dengan warna. Lakukan pelbagai rujukan supaya tema atau konsep dekorasi yang diinginkan benar-benar menjadi kenyataan.

Malah, tidak menjadi kesalahan jika meniru idea penataan daripada paparan Internet, akhbar, majalah atau ruang pameran.

Selain itu, cara untuk membangkitkan seri ruang dengan jubin ialah dengan menampilkan corak dan warnanya secara suai padan menarik.

Mulakan dengan menetapkan gaya kombinasi diingini, sama ada paduan jubin polos, bercorak, bertekstur atau padanan mengikut skema warna.

Penampilan sesuatu corak boleh berasaskan warna polos dengan imej suai padan atau disusun membentuk motif tertentu.

Jubin bertekstur boleh dipilih daripada warna atau corak sama dan sesuai untuk kawasan terhad atau luas. Motif pula boleh dipaparkan dalam ukuran kecil atau meluas seperti mural.

Perlu diingat, guna jubin kurang bercorak untuk ruang kecil bagi mengelak imej menjadi sempit.

Corak sarat pula boleh dipasang di kawasan luas, sama ada secara keseluruhan atau gabungkan dengan yang polos.

Seterusnya pilih jubin tahan panas untuk kawasan yang terdedah kepada haba. Sesuaikan jenis jubin mengikut kegunaan ruang.

Bilik air, ruang dapur dan anjung tempat letak kereta memerlukan jubin lebih tahan lasak, kalis air dan tidak mudah berlumut berbanding di ruang tamu.

Sesuai dengan bilik air, pilih jubin jenis kesat bagi mengelakkan licin. Jika menggunakan jubin licin, pilih petak halus untuk disusun.

Garis petak jubin mengelakkan rasa licin di tapak kaki. Kelebihan menggunakan jubin jenis licin di bilik air ialah permukaannya mudah dibersihkan tanpa menggunakan ba­nyak tenaga.

Antara cara mudah menambah penampilan lantai jubin lama ialah dengan menggunakan bahan penampal baru. Kikis celah jubin dengan hujung pemutar skru untuk membuang kesan penampal lama.

Sapu bahan penampal baru di seluruh permukaan jubin dengan span basah, serentak itu celah penyambungan jubin perlu diletakkan bahan penampal baru.

Kemudian bersihkan permukaan jubin dengan span lembap dan keadaan ini memberi warna segar pada garis penyambung jubin, sekali gus memberi imej baru pada lantai.

Jika kepingan jubin longgar, pasang kepingan jubin baru. Tanggalkan jubin sedia ada dengan pahat. Pastikan permukaan simen rata sebelum melekatkan jubin baru.

Ketika memasang, hendaklah dilakukan dengan berhati-hati. Pastikan semua petak jubin dalam keadaan tersusun kemas.

Pastikan permukaan jubin baru dan lama sama ting­gi untuk menjamin mutu kekemasan lantai.

Permukaan tidak sama rata menimbulkan ketidakselesaan ketika memijak dan berjalan.

Pemilihan jubin seramik untuk sesuatu kawasan lantai bukan hanya kerana kawasan itu terdedah pada air, tetapi disebabkan ia berupaya membangkitkan seri ruang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:02 AM