PASTIKAN terdapat pencahayaan yang baik di kabinet dapur.
PASTIKAN terdapat pencahayaan yang baik di kabinet dapur.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


PEMASANGAN kabinet dapur antara yang menjadi idaman si pemilik kediaman terutama untuk suri rumah kerana ia dilihat mampu melengkapkan hiasan dalaman.

Malah, pemasangan kabinet dapur turut menambahkan kekemasan dapur.

Justeru, Pensyarah Program Seni Bina, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Mohd Hafizal Mohd Isa kongsikan beberapa perkara yang mungkin anda perlu ambil tahu dalam pemasangan kabinet dapur.

1. Faham penggunaan dapur

Perkara pertama yang perlu difikirkan sebelum memilih jenis dapur yang ingin direka bentuk adalah dengan membuat penilaian kendiri, melihat tahap penggunaan dapur dan gaya hidup yang diamalkan. Adakah anda jenis yang suka memasak? Masakan jenis apa yang sering dimasak? Penilaian ini penting dalam menentukan bahan, tahap ketahanan dapur dan saiz. Ada sesetengah orang suka bekerja di dapur sambil melayan tetamu. Hal ini akan menentukan fungsi dan cara penggunaan dapur anda.

2. Memilih jenis pintu

Komponen utama pada kabinet dapur yang mendominasi luas permukaan dan tampak keseluruhan kabinet dapur adalah jenis pintu kabinet yang digunakan.

Bagi penggemar minimalis, reka bentuk pintu dengan permukaan rata menjadi pilihan utama. Bagi yang menggemari konsep Inggeris dan 'country' sememangnya pintu jenis berbingkai atau konsep bangsal atau 'barn' menggunakan pintu berbingkai dengan palang 'x' di tengah untuk menguatkan konsep itu.

Selain itu, pengguna boleh memilih sama ada untuk menggunakan pintu yang legap, menggunakan kaca atau

'polycarbonate' yang boleh mempamerkan bahan disusun di dalamnya.

Selain itu, penggunaan kaca yang difros iaitu 'frosted glass,'

atau 'tempered glass' boleh digunakan untuk menyembunyikan barang yang disimpan dalam kabinet selain dapat meningkatkan nilai estetik dan elegan kabinet itu.

Bagaimanapun, penggunaan rak terbuka juga boleh digunakan jika pengguna ingin menjimatkan kos keseluruhan kabinet dapur.

PILIH bahan kabinet yang sesuai penting kepada pemilik.
PILIH bahan kabinet yang sesuai penting kepada pemilik.

3. Memilih bahan

Komponen ini paling penting dalam menentukan kos keseluruhan dapur yang hendak direka bentuk. Terdapat kemasan premium seperti batu kuarza, marmar dan granit menjadi pilihan sebagai kemasan kaunter meja yang harganya boleh mencecah RM150 hingga RM320 sekaki persegi.

Bagi pilihan yang lebih ekonomi, kemasan konkrit, jubin dan kayu serpai boleh digunakan. Selain itu, pemilihan jubin dinding dapur juga menyumbang kepada peningkatan kos keseluruhan dapur.

Sebagai contoh, jubin 'subway,' mozek marmar dan jubin dengan potongan serta bentuk unik lebih mahal dari jubin biasa. Pemilihan warna jubin ini biasanya lebih menarik jika warnanya lebih cerah berbanding warna pintu dapur dan kaunter meja.

Jika pengguna ingin mempelbagaikan bahan pada reka bentuk kabinet dapur, pemilihan melamin atau laminasi formika yang biasanya didatangkan dengan pelbagai warna dan tekstur yang menyerupai seakan-akan bahan asli seperti, kayu serta konkrit boleh digunakan.

Selain itu, pengguna perlu bijak dalam memilih bahan struktur utama kabinet sama ada konkrit, kayu atau bahan yang kalis air bagi memastikan kabinet itu tahan lama.

4. Memilih perkakasan atau 'hardware'

Pemilihan perkakasan seperti tombol pintu dan engsel bukan sahaja dapat meningkatkan nilai estetika kabinet dapur, tetapi mampu untuk memudahkan pengoperasian dapur itu secara amnya.

Engsel hidraulik mampu untuk memberikan keselesaan dalam proses membuka dan menutup pintu kabinet supaya lebih senyap dan mengurangkan hentakan kuat apabila ditutup.

Pemilihan engsel ini juga penting untuk disesuaikan dengan berat pintu kabinet mengikut bahan yang digunakan.

Pemilihan tombol pintu juga penting untuk melengkapkan tampak keseluruhan mengikut konsep yang dipilih.

5. Memilih perkakasan/peralatan dapur

Ada sesetengah orang memilih untuk menggabungkan peralatan dapur seperti dapur, penyedut minyak dan asap, ketuhar dan ketuhar gelombang mikro yang dipasang secara tetap dalam kabinet dapur.

Tetapi, ada sesetengah orang memilih untuk meletakkan barangan penting seperti dapur dan penyedut minyak dan asap sahaja serta menggunakan perkakasan lain secara berasingan.

6. Pelan dapur

Terdapat pelbagai bentuk pelan dapur yang boleh dipadankan dengan pelan lantai rumah. Pemilihan ini perlu berdasarkan keluasan dapur sedia ada.

Kebanyakan dapur direka dengan pelan 'I' atau 'L'. Tetapi, bagi ruang yang lebih besar boleh direka bentuk dengan pelan 'U' atau ditambah satu unit pulau atau 'island' di tengah-tengah ruang dapur. Hal ini sesuai bagi ruang dapur yang lebih terbuka, luas dan tidak mempunyai dinding pemisah.

7. Ruang penyimpanan

Selain bilik tidur, dapur memerlukan ruang penyimpanan yang secukupnya dalam menyusun barangan bagi mengelak daripada kelihatan serabut dan tidak tersusun. Pengguna boleh menggabungkan unit kabinet rendah dan tinggi bagi tujuan itu.

8. Pencahayaan

Memasak dalam keadaan gelap amat merbahaya. Pencahayaan yang secukupnya penting untuk melakukan kerja dapur dengan lebih efektif melalui pencahayaan semula jadi atau tiruan.

Selain itu, bukaan seperti pintu dan tingkap juga mampu untuk membantu pengaliran udara bagi menggantikan udara tercemar selain mengurangkan konsentrasi gas karbon dioksida dalam dapur.

9. Alat pemadam kebakaran

Benar kata orang malang tidak berbau. Ramai pengguna masih tidak menitikberatkan pentingnya alat pemadam kebakaran diletakkan di dapur. Alat seperti tangki berisi serbuk pemadam, selimut api dan sebagainya boleh diintegerasikan pada permukaan kabinet atau ditempatkan di ruang selamat dalam ruang kabinet yang mudah dicapai dan terlihat.

PEMASANGAN kabinet kini boleh dilakukan secara DIY.
PEMASANGAN kabinet kini boleh dilakukan secara DIY.

10.Lakukan sendiri (DIY) atau tempah

Mungkin lebih mudah jika kita menempah dapur daripada pakar. Kita akan kurang membuat kesilapan dalam proses pemasangan selain memiliki reka bentuk khas yang unik mengikut cita rasa tersendiri.

Bagaimanapun, pengguna kini boleh membeli dan memasang kabinet dapur secara DIY melalui kedai yang menjual komponen kabinet dapur yang menyediakan perkhidmatan rundingan reka bentuk minimum.

Hal ini dapat menjimatkan kos. Jika pengguna itu bijak, mereka boleh mempunyai ruang untuk berkarya dengan menggabungkan beberapa komponen kabinet dapur DIY untuk membentuk susunan yang mempunyai aturan yang unik dan tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 6:30 AM