LAPISAN lantai kayu berlamina kurang sesuai di ruang ini kecuali daripada jenis 4G.
LAPISAN lantai kayu berlamina kurang sesuai di ruang ini kecuali daripada jenis 4G.
Oleh Faizal Zain

Bertemu lagi dan kali ini saya ingin mengulas salah satu medium lantai yang kian diminati iaitu lapisan lantai vinyl.

Kegilaan memasang lapisan lantai kayu lamina di rumah mencetus kan beberapa kesilapan kerana ramai yang memasang lapisan lantai kayu lamina pada ruangan ‘basah’ seperti di dapur, ruangan sidai atau anjung rumah.

Lapisan lantai kayu lamina bukan dicipta untuk ruang yang terdedah kepada air dan kelembapan walaupun ada yang berkualiti dengan 15 tahun jaminan.

Jika mahukan lapisan lantai kayu lamina untuk ruangan basah, pilih lantai kayu lamina dari jenis 4G yang tahan air seperti hujan, takungan air atau banjir.

Namun, kos pemasangan lapisan lantai kayu lamina 4G itu amat mahal. Tidak dinafikan ruang dapur yang berlantaikan permukaan kayu tampak lebih elegan, moden dan menaikkan mood berbanding lantai jubin, mozek atau marmar.

Pemilihan lantai kayu lamina bukan sesuatu yang bijak untuk ruangan dapur basah sebaliknya penggunaan lapisan lantai vinyl lebih sesuai. Masih bercorakkan permukaan kayu, lapisan lantai vinyl ialah pilihan yang tepat untuk ruangan basah seperti dapur, sidai atau balkoni rumah kerana ia jenis getah sintetik dan mesra alam.

Lantai jenis vinyl ini bukan sesuatu yang baru dalam dunia hiasan dalaman kerana banyak digunakan di hospital, sekolah dan pejabat, cuma hari ini ia tampil dalam corak kayu yang lebih elegan dan diadaptasikan untuk kediaman.

Pemasangannya juga lebih mudah.

Sebelum memasang lantai vinyl, pastikan lantai asal rata dan licin. Jika lantai simen tidak rata, menggerutu dan kesat, pemasangan lantai vinyl sukar dilakukan.

Apa pun jika mahukan yang terbaik, lantai kayu lamina lebih sesuai di ruang tamu, bilik tidur dan ruang lain manakala lapisan lantai vinyl pada ruangan basah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:05 AM