PEMILIHAN jubin sesuai juga menentukan isu jubin meletup dapat ditangani.
PEMILIHAN jubin sesuai juga menentukan isu jubin meletup dapat ditangani.
Nurul Husna Mahmud

RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) kejadian jubin meletup dikongsi seorang pemilik kediaman bertingkat tahun lalu tular dan menarik perhatian orang ramai.

Bagi yang pertama kali melihat fenomena itu, mudah untuk mereka mengaitkan kejadian berkenaan dengan elemen mistik.

Sedangkan kes jubin meletup perkara lazim membabitkan kediaman yang mana masalah itu berpunca daripada pemilihan jubin dan kegagalan kontraktor pemasangan jubin.

Kejadian jubin meletup boleh berlaku pada ruang atau kawasan terbuka seperti di ruang tamu selain ruang lantai ditindih dengan perabot atau perkakas rumah.

Jubin meletup bukan sahaja menjejaskan keindahan dan kesempurnaan kemasan lantai dalam kediaman malah ia juga boleh mendatangkan kecederaan serta kemalangan kepada penghuni.

Dalam permasalahan jubin rumah meletup beberapa punca dikenal pasti. Antaranya:

1. Ruang udara di bawah jubin

Kegagalan kontraktor melakukan kerja-kerja pemasangan jubin dengan betul menyebabkan wujudnya ruang udara di bawah material lantai terbabit.

Biarpun sukar untuk mendapatkan 100 peratus tiada rongga udara pada bancuhan pelekat jubin, kontraktor berpengalaman boleh mengubah keadaan itu dengan memastikan tiada gelembung udara ketika pemasangan.

2. Jubin disusun terlalu rapat

Jubin juga seperti material binaan lain yang boleh mengembang dan mengecut.

Kaedah memasang jubin dengan jarak terlalu rapat menyebabkan proses mengembang dan mengecut terganggu.

Malah jubin yang tidak mempunyai 'ruang' mencukupi (jarak antara jubin) akan mengganggu proses mengembang dan ia menyebabkan tekanan tinggi sehingga mengakibatkan jubin meletup atau pecah.

JARAK antara jubin penting.
JARAK antara jubin penting.

3. Permukaan lantai tidak rata

Permukaan lantai sekata menentukan spesifikasi kerja-kerja pemasangan jubin lebih mudah dan menjimatkan.

Andai kata kontraktor tidak mengendahkan aspek terbabit dan meneruskan kerja-kerja pemasangan lantai seperti biasa, tindakan itu sangat berisiko.

Sebaiknya periksa 'kerataan' permukaan lantai dan sesuaikan penggunaan pelekat jubin pada kadar yang sesuai supaya jubin melekap dengan kemas tanpa ada rongga.

4. Permukaan lantai yang berpasir

Kebersihan simen pada lantai selepas kering juga penting dan kontraktor perlu memastikan permukaan simen pada lantai dibersihkan sebelum memulakan proses pemasangan jubin.

Jika terdapat serpihan pasir halus, ia akan

menjejaskan mutu kerja-kerja pemasangan jubin apabila lekatan di antara jubin dan permukaan lantai terganggu.

5. Serapan air pada jubin

Kadar serapan air pada jubin berbeza mengikut jenis. Contohnya jubin jenis porselin kurang menyerap air berbanding jubin jenis seramik.

Terdapat amalan dalam pemasangan jubin, apabila ia perlu direndam terlebih dahulu sebelum dipasang.

Jika jubin dipilih jenis yang menyerap banyak air daripada pelekat jubin, ia akan mudah mengembang dan menolak bahagian sambungan jubin bersebelahan sehingga melengkung. Kemungkinan berlaku jubin meletup adalah tinggi.

Satu lagi tabiat perlu dielak adalah membuat pembelian jubin terpakai atau murah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 6:20 AM