JUBIN menyerikan lagi sesuatu ruang dalam kediaman.
JUBIN menyerikan lagi sesuatu ruang dalam kediaman.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Antara cara untuk menghasilkan impak menarik di sesuatu ruang dalam kediaman adalah dengan menggunakan tekstur dan stail jubin yang berbeza.

Ia kaedah yang semakin popular kebelakangan ini kerana jubin bertekstur begitu unik bukan sahaja dari segi rupa malah suasana yang dihasilkan.

Jubin bertekstur juga menambah daya penarik dan dimensi kepada rekaan dalaman kediaman.

Namun, memandangkan terdapat begitu banyak tekstur dan stail di pasaran, anda mungkin memerlukan beberapa panduan untuk mendapatkan jubin yang sesuai bagi sesuatu ruang.

Menurut pengeluar jubin global, Niro Ceramic Group, terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan apabila memilih jubin bertekstur untuk dinding atau lantai.

Pertamanya, jubin yang dipilih perlulah sesuai untuk bilik atau ruang terbabit dan tujuannya.

Sekiranya anda ingin memasangnya di bilik mandi atau dapur, pastikan jubin terbabit memberi ketahanan gelincir yang baik dan mudah untuk dibersihkan.

Kebanyakan jubin lantai bertekstur menambah cengkaman dan memberikan ciri-ciri anti gelincir, supaya ia bukan sekadar menarik tetapi juga praktikal.

Kedua, pertimbangkan tema rekaan dalaman kerana itu akan membantu anda memilih jenis tekstur dan stail yang paling sesuai.

PEMASANGAN  jubin linear dapat menghasilkan gaya moden dan teratur kepada kediaman.
PEMASANGAN jubin linear dapat menghasilkan gaya moden dan teratur kepada kediaman.

Sebagai contoh, sekiranya rumah anda berkonsepkan moden dan minimalis, pilihlah jubin bertekstur linear tetapi jika mahu suasana berunsur kedesaan atau gaya semula jadi, jubin stail kayu mungkin lebih sesuai.

Selain itu, saiz sesuatu ruang juga perlu diambil kira kerana sekiranya ingin menghias kawasan kecil, jubin mozek bersaiz kecil boleh membuatkan bilik berkenaan kelihatan sesak dan tidak tersusun.

Sebaiknya, pilihlah jubin bertekstur linear untuk menghasilkan ilusi ruang lebih luas manakala jubin jenis mozek adalah pilihan terbaik bagi ruang yang lebih besar kerana ia dapat menghasilkan titik tumpu menarik.

Syarikat pengeluar jubin itu turut berkongsi maklumat mengenai jenis tekstur dan stail jubin yang ada di pasaran.

Menerusi kemajuan teknologi, jubin kini dapat direka dan dihasilkan dengan canggih untuk memberi ciri-ciri moden yang inovatif bagi menyerlahkan kreativiti pemilik rumah.

Memandangkan pemasangan jubin adalah pelaburan yang besar, pemilik rumah perlu memilih jubin dengan teliti.

Antara jenis yang ada di pasaran hari ini ialah jubin ombak, iaitu rekaan berombak yang timbul di permukaannya menyerupai ombak laut dan dapat memberi kesan menenangkan.

REKAAN berombak yang timbul di permukaan jubin ombak menyerupai ombak laut dan dapat memberi kesan menenangkan.
REKAAN berombak yang timbul di permukaan jubin ombak menyerupai ombak laut dan dapat memberi kesan menenangkan.

Rekaan jubin linear pula menghasilkan gaya moden dan teratur, garisan melintangnya kemas dan diulang di seluruh permukaan untuk membuatkan bilik kelihatan lebih besar serta luas.

Jubin mozek pula boleh didapati dalam pelbagai variasi, dari gelap dan dramatik hingga semula jadi dan minimalis, ia memberi penampilan yang bergaya serta mewah.

Saiznya yang kecil membuatkan jubin mozek sangat fleksibel dan boleh digunakan di ruang besar atau kecil.

Jubin matt pula menampilkan permukaan berbatu, tekstur licin dan konsisten dengan kemasan matt seakan satin.

Ia memberi hasil yang lebih kontemporari dan tekstur menarik, sesuai jika dipadankan dengan kemasan berkilat serta berunsur semula jadi.

Jubin gaya kayu pula memberi penampilan seakan kayu sebenar dalam tekstur dan warna berbeza.

Kelebihan berbanding kayu semula jadi antaranya mudah dijaga dan dibersihkan serta tidak berdepan risiko kerosakan akibat terdedah kepada kelembapan.

Jubin batu berkilat pula sering dikaitkan dengan jubin granit dan marmar, menampilkan rangkaian penuh tona dari cerah ke gelap, kemasan tinggi kilatan serta licin sempurna.

Batuan semula jadi yang dikilatkan menyerlahkan rekaan dan menghasilkan suasana yang lebih mewah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 6:49 AM