Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kini ramai menggunakan konsep pelan lantai terbuka iaitu reka bentuk seni bina kediaman yang mengutamakan ruang terbuka dengan sedikit pemisahan antara ruang utama dan ruang lain bagi memudahkan komunikasi serta mengeratkan ikatan kekeluargaan.

Dari pintu masuk, tetamu boleh terus nampak kawasan ruang makan, ruang tamu dan juga bahagian dapur tanpa ada dinding pemisahan.

Terdapat beberapa tema dekorasi yang sesuai untuk konsep pelan lantai terbuka antaranya gaya moden dan minimalis.

Pereka hias dalaman, Farah Najiha Mohamad Yahya berkata, dekorasi moden adalah gaya reka bentuk dalaman yang dicirikan palet warna monokromatik contohnya warna kelabu, putih, warna-warna neutral dan hitam dengan penggunaan minimalis, bahan serta cahaya semula jadi.

Katanya, dekorasi minimalis atau moden juga dapat membantu menjadikan ruang kelihatan tenang, selesa dan bersih.

"Ruang juga nampak lebih kemas dan tidak serabut. Dekorasi ruang tamu minimalis atau moden mampu meneutralkan kepenatan penghuninya selepas seharian penat bekerja," katanya.

Pemilihan perabot juga haruslah mengikut kesesuaian konsep yang dipilih dan rekaan jenis berkaki adalah lebih baik kerana memudahkan kerja-kerja mengemas dan mudah dialihkan.

PEMBAHAGI ruang jenis pintu gelongsor dapat menghalang bauan masakan.
PEMBAHAGI ruang jenis pintu gelongsor dapat menghalang bauan masakan.

Selain itu, warna turut memainkan peranan penting dalam pemilihan perabot rumah dan sebelum membeli, Farah Najiha menyarankan supaya memadankan warna perabot dengan warna lain dalam ruang berkenaan.

"Jangan ambil mudah pemilihan warna perabot kerana jika tidak sesuai, ia akan mencacatkan lagi suasana dalam ruang itu," katanya.

Untuk pemilihan warna, warna-warna nuetral, kelabu dan hitam sesuai dijadikan pilihan sama ada untuk dinding ataupun rona perabot.

Farah Najiha berkata, ramai juga yang memilih untuk menggunakan pembahagi ruang bagi membezakan fungsi sesuatu kawasan di dalam kediaman.

RUANG tampak lebih kemas dan selesa untuk didiami.
RUANG tampak lebih kemas dan selesa untuk didiami.

Ia juga dapat mencantikkan lagi kawasan ruang yang ada dan ketika ini terdapat pelbagai jenis pembahagi ruang di pasaran.

Ada yang menggunakan pembahagi ruang jenis terbuka dan pintu gelungsur atau pintu lipat sebagai pembahagi sesuatu ruang.

Katanya, kelebihan jika menggunakan pintu gelungsur ataupun pintu lipat adalah aroma ketika memasak tidak akan memasuki ke ruang lain.

"Manakala jika menggunakan pembahagi ruang jenis terbuka, semua aroma masakan dapat dihidu hingga ke ruang tamu.

"Namun konsep pelan lantai terbuka kurang digemari golongan berusia kerana mereka kebiasaannya mahukan lebih privasi ketika di dapur," katanya.

Dalam pada itu, flutted panel atau panel bergalur juga antara dekorasi sesuai untuk tema moden.

Anda mungkin tidak pernah mendengar berkenaan panel bergalur sebelum ini, tetapi secara ringkas, ia adalah panel mesra alam yang dibina daripada komposit kejuruteraan dengan reka bentuk linear.

RUANG dapur tampak lebih luas dan lapang.
RUANG dapur tampak lebih luas dan lapang.

Kemasan kayu semula jadi menjadikannya kelihatan seperti kayu sebenar, tetapi ia kalis air selain menjadi penghalau anai-anai .

Kata Farah Najiha, reka bentuknya yang elegan menjadikan ia sesuai dengan banyak gaya dalaman yang berbeza dan juga boleh digunakan pada perabot.

"Selain itu, pemasanganya juga mudah dan tidak memerlukan golongan profesional untuk memasangnya.

"Memasang panel dinding hiasan yang kelihatan seperti kayu di dalam bilik tidur atau ruang tamu akan menambah minat pada reka bentuk, manakala di ruang komersial, ia boleh menarik pengunjung ke lokasi tertentu.

"Memilih berbilang panel dengan jarak dan warna yang berbeza juga boleh mencipta corak yang menarik," katanya.

Sementara itu, cermin juga adalah salah satu elemen dekorasi yang sesuai untuk konsep moden dan ia memiliki banyak faedah.

Ini kerana cermin tidak lagi hanya berfungsi sebagai medium refleksi sebaliknya dapat menghasilkan kesan elegan pada rekaan dalaman kediaman selain membantu memperlihatkan ruang lebih luas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 7:00 AM