MASIH ramai beranggapan stres ketika bekerja adalah perkara biasa.
MASIH ramai beranggapan stres ketika bekerja adalah perkara biasa.
Muhamaad Razis Ismail


KEBELAKANGAN ini peningkatan kes baharu pandemik Covid-19 di negara ini begitu membimbangkan.

Peningkatan kes mencecah lima angka itu menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan sekatan pergerakan penuh (SPP) di seluruh negara selama dua minggu bermula 1 Jun lalu.

Susulan itu, banyak syarikat kembali melaksanakan sistem bekerja dari rumah (BDR) seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ismaniza Ismail berkata, isu yang biasanya membuka mata masyarakat adalah keselamatan dan kesihatan pekerjaan membabitkan kemalangan, kecederaan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja.

"Bagaimanapun, kita sering terlepas pandang bahawa risikonya juga sama apabila kita 'membawa kerja ke rumah.'

"Mungkin cabaran dan kesan daripada perubahan budaya kerja ini belum ketara lantaran ramai yang masih menganggap BDR sebagai hak istimewa untuk memenuhi keperluan dan kehendak pekerja," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, BDR menuntut penekanan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan khususnya ke atas keselesaan di stesen kerja termasuk ergonomik, pencahayaan, suhu yang sesuai, kebersihan rumah, keselamatan elektrik dan aspek psikososial.

"Hampir semua aspek ini mempunyai kecenderungan untuk diabaikan ketika BDR.

"Aspek yang sering masyarakat kita terlepas pandang adalah masalah psikososial. Ini mungkin kerana masyarakat memandang stres akibat beban kerja sebagai sebahagian daripada perkara biasa yang tidak perlu diperbesarkan," katanya.

AMALKAN pemakanan seimbang.
AMALKAN pemakanan seimbang.

Mengulas lanjut, secara tipikalnya, keselamatan dan kesihatan ketika BDR sering diabaikan kerana terlalu selesa dan enggan membuat perubahan.

"Antaranya adalah menyediakan ruang kerja yang dianggap sementara atau mesyuarat dalam talian di sofa (tanpa sokongan belakang badan yang baik) boleh mengakibatkan masalah ergonomik.

"Selain itu, berlaku masalah psikososial apabila terbelenggu dengan tugasan di rumah, tetapi menganggapnya sebagai kewajipan yang tidak boleh dielakkan," katanya.

Katanya, kesan negatif mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan ketika BDR mungkin tidak dapat dilihat dalam tempoh singkat.

MAJIKAN perlu mengambil tahu soal keselamatan dan kesihatan pekerja di rumah.
MAJIKAN perlu mengambil tahu soal keselamatan dan kesihatan pekerja di rumah.

"Sebagai contoh, penyakit gangguan 'musculoskeletal disorders' (MSDs) akibat amalan ergonomik yang kurang baik.

"Selain itu, gejala seperti keletihan dan ketidakselesaan sudah dapat dirasai sejak awal cuma dipandang ringan," katanya.

Jelasnya, majikan masih bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja yang berada di rumah.

"Jika diperlukan boleh buat penyesuaian terhadap tugas untuk memastikannya dapat dilakukan dengan selamat ketika BDR.

"Majikan juga perlu mengambil kira perancangan untuk kesejahteraan fizikal dan mental pekerja, contohnya dengan tidak membebankan pekerja dengan tugasan yang perlu disiapkan dalam tempoh tidak realistik," katanya.

Dr Ismaniza berkata, kesedaran masyarakat dilihat semakin meningkat selepas berdepan situasi sama pada tahun lalu.

"Banyak informasi disebarkan mengenai cara kerja dari rumah yang betul dan semuanya boleh diperoleh hanya di hujung jari.

"Cuma saya berpendapat, perhatian perlu diberi kepada penyebaran maklumat yang tepat sahaja kerana kadangkala maklumat sebegini disebarkan tanpa ditentu sahkan faktanya," katanya.

Beliau menyarankan supaya membuat perubahan kecil ketika BDR untuk hasil yang positif untuk jangka panjang.

"Kita sering terbiasa dengan ruang kerja yang 'asal boleh,' sedangkan hakikatnya kita perlu membetulkan yang biasa dan kemudian barulah membiasakan yang betul," katanya.

LUANGKAN sedikit masa untuk senaman ringan di rumah.
LUANGKAN sedikit masa untuk senaman ringan di rumah.

Tip untuk kekal produktif bekerja dari rumah

1. Dapatkan 'mood' bekerja dengan memulakan hari seperti rutin hari bekerja termasuk bersiap seperti ingin pergi ke pejabat.

2. Buat perancangan tugas dengan teliti dengan mengutamakan tugasan yang perlu dihantar terlebih dahulu.

3. Ruang kerja mesti kondusif, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Ciri-ciri ergonomik, pengudaraan dan pencahayaan perlu dititikberatkan.

4. Jadualkan waktu rehat. Jika perlu, pasang penggera untuk mengingatkan kita berehat, sama seperti teknik Pomodoro.

5. Lakukan senaman ringan antara waktu kerja. Hormon endorfin yang dihasilkan penting untuk rasa positif.

6. Amalkan pemakanan seimbang. Biasanya kita cenderung untuk 'snacking' apabila BDR, tetapi pilih makanan yang berzat seperti buah-buahan atau kekacang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 7:01 AM