PENGUDARAAN dan pencahayaan semula jadi dapat mengurangkan penggunaan elektrik.
PENGUDARAAN dan pencahayaan semula jadi dapat mengurangkan penggunaan elektrik.
RUANG santai untuk keluarga.
RUANG santai untuk keluarga.
Muhamaad Razis Ismail


MELIHAT rumah yang menggunakan reka bentuk loft di Teluk Intan, Perak ini ramai yang tidak menyangka ia sebenarnya rumah usang yang hanya menunggu masa untuk roboh.

Selain mengetengahkan konsep hiasan dalaman boho dan Scandinavia, rumah yang dinamakan Verandah & Loft ini turut dilengkapi kemudahan kolam dan taman kaktus.

Bagaimanapun, Mohamad Firdaus Azmi yang mempunyai minat terhadap seni reka binaan dan rekaan dalaman mengambil langkah berani dengan membeli dan membaik pulih untuk memberi peluang kedua kepada rumah ini supaya ia boleh diduduki semula.

Mohamad Firdaus berkata, sebelum ini rumah berkenaan adalah sebuah rumah usang yang ditinggalkan sekian lama yang terletak bersebelahan kediamannya.

Katanya, rumah ini tidak dipedulikan sehingga mengakibatkan strukturnya mula runtuh dan rosak.

"Keunikan rumah ini adalah memiliki beranda yang luas dan binaan rumah dua tingkat. Sekiranya saya tidak menyelamatkan rumah ini dengan segera untuk tujuan pemuliharaan pasti ia lenyap dari pandangan dalam beberapa tahun akan datang.

"Sejarah pembinaan rumah ini masih tidak diketahui, namun jika dilihat dari segi reka bentuk rumah terutama pada binaan beranda, ia kelihatan seperti binaan rumah kampung masyarakat Melayu Champa," katanya.

KEADAAN rumah usang sebelum diberi peluang kedua.
KEADAAN rumah usang sebelum diberi peluang kedua.

Tambahnya, selepas mendapat kontraktor bersesuaian untuk kerja baik pulih mula dijalankan pada Mei tahun lalu dan siap sepenuhnya pada Disember tahun lalu.

"Sekiranya difikirkan semula, banyak kerja yang dilakukan termasuk membuang lantai rumah pertama untuk menepati konsep loft yang mempunyai siling tinggi bagi meningkatkan pengudaraan.

"Tingkap dan sebahagian dinding diganti dengan cermin untuk menambahkan pencahayaan semula jadi serta semua struktur lama yang reput dan rosak digantikan. Keseluruhan bumbung lama diganti dengan bumbung serta insulasi untuk mengurangkan haba dan bunyi bising.

"Ruang bawah rumah kedua dibuka sebagai tempat letak kenderaan dan garaj. Memandangkan kawasan rumah ini sudah lama ditinggalkan dan berair, kawasan rumah ditambak sebelum dinaikkan tembok untuk ruang privasi dan dibina perparitan yang baharu," katanya.

RUMAH dengan konsep loft untuk keselesaan penghuni.
RUMAH dengan konsep loft untuk keselesaan penghuni.

Untuk reka bentuk seni bina, pegawai perubatan itu cenderung memilih konsep loft yang banyak digunakan di Eropah dan Amerika Syarikat.

"Saya mendapat inspirasi konsep ini ketika menginap di sebuah rumah log di Pulau Jeju, Korea Selatan. Memang menyeronokkan kerana ibu bapa dapat memantau aktiviti anak anak di tingkat atas sambil berehat di tingkat bawah.

"Ruang loft memberi satu ruang besar untuk dikongsi seisi keluarga berbanding rumah dua tingkat yang terasing. Anda masih dapat merasai kehadiran ahli keluarga dalam ruang sama, itu sangat penting bagi saya.

"Pengudaraan dan pencahayaan semula jadi juga dapat mengurangkan penggunaan elektrik. Ruang ini tidak memerlukan penyaman udara kerana sangat redup dan sejuk walaupun cuaca di luar panas terik," katanya.

MENGETENGAHKAN konsep hiasan dalaman boho dan Scandinavia.
MENGETENGAHKAN konsep hiasan dalaman boho dan Scandinavia.

Sementara itu, untuk hiasan dalaman rumah, Mohamad Firdaus mengetengahkan konsep hibrid antara boho dan Scandinavian.

"Konsep boho banyak menekankan tekstur, warna, pencahayaan dan pokok hiasan dalaman manakala Scandinavia pula merujuk kepada konsep yang minimalis tanpa perabot dan hiasan yang banyak. Selain permainan warna pastel yang berasaskan coklat dan putih supaya sejuk mata memandang.

"Perabot banyak daripada rotan yang sangat bertepatan kerana ruang atas rumah tidak sesuai untuk menampung perabot yang berat. Ia cantik, selesa dan tahan lama," katanya.

Selain itu, luar rumah tidak diabaikan kerana ada sebuah taman kaktus yang dipenuhi pokok kaktus.

MENGGUNAKAN perabot dari rotan yang lebih ringan.
MENGGUNAKAN perabot dari rotan yang lebih ringan.

"Oleh kerana kesibukan kerja, saya memilih pokok kaktus yang tidak memerlukan penjagaan dan penyelenggaraan yang terlalu rapi selain lebih mudah dijaga. Taman ini direka supaya 'sebati' dengan reka bentuk hiasan dalam rumah untuk kelihatan harmoni.

"Ia juga direka supaya menjadi ruang lokasi 'outfit of the day' (OOTD) kepada pengunjung yang datang ke rumah," katanya.

Jelasnya, secara keseluruhan terlalu banyak kisah yang boleh diceritakan mengenai proses pemuliharaan rumah ini yang dilakukan dengan penuh minat dan kesabaran.

"Rumah ini sebenarnya adalah simbolik mengenai 'peluang kedua.' Semua orang berhak memperoleh peluang kedua untuk menunjukkan potensi sebenar.

TAMAN kaktus untuk lokasi OOTD.
TAMAN kaktus untuk lokasi OOTD.

"Walaupun rumah ini berstatus usang dan tiada siapa yang menghargainya, dengan usaha gigih akhirnya ia kembali menjadi perhatian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 6:30 AM