WARNA kontra hijau zamrud dan coklat kayu rekaan pilihan pereka dari Perancis.
WARNA kontra hijau zamrud dan coklat kayu rekaan pilihan pereka dari Perancis.
Zaitie Satibi

WARNA kontra adalah satu teknik membabitkan padanan dua atau lebih warna terang. Ia antara trend yang popular dalam rekaan dalaman.

Penggunaan warna sebegini mudah ditemui di ruang dapur apabila kabinet yang berlainan warna dipadankan dengan kemasan perabot serta dinding, sekali gus memberikan rona berlainan.

Pereka dalaman Perancis, Atelier Sagitta menambah satu dos warna kepada sebuah apartmen yang tidak berkonsep di pinggir bandar Paris dengan mencipta ruang dapur yang keseluruhannya berwarna hijau.

UKIRAN beralur cukup menonjolkan keindahan kabinet.
UKIRAN beralur cukup menonjolkan keindahan kabinet.

Apartmen ini terletak dalam kawasan kediaman yang baru dibina di kejiranan Clichy, di barat daya Paris. Pemiliknya, seorang pengarah seni muda yang bekerja dalam industri muzik membeli kediaman itu tanpa kemasan perabot.

Oleh itu, beliau mengupah Atelier untuk mengubah kediamannya dengan sentuhan asli pereka tempatan berkenaan yang menumpukan bahagian dapur kerana ruangan itu berada di tengah-tengah pelan lantai.

KABINET kayu oak dengan laci tambahan jimat ruang penyimpanan.
KABINET kayu oak dengan laci tambahan jimat ruang penyimpanan.

Malah, pemiliknya juga meminta Atelier menggabungkan meja makan di bahagian dapur bagi membolehkan ruang tamu kelihatan lebih besar dan bebas untuk bergerak.

Menerusi permintaan khusus itu, Atelier memutuskan untuk mengecat kabinet, siling dan dinding ‘periferal’ dengan warna hijau zamrud yang terang menyerupai warna asal meja kabinet sedia ada ketika apartmen itu dibeli.

Hasil kerja Atelier kali ini banyak dipengaruhi sebuah apartmen pernah diubahsuainya sebelum ini yang menampilkan kawasan memasak berkonsep rona hijau hutan.

Kabinet kayu oak dengan kemasan beralur bersama laci tambahan turut ditempatkan di satu sudut dapur. Perabot berukir ini dihasilkan rakan lama pemilik apartmen yang juga seorang pembuat kabinet, Michel Mazue.

RAK kecil bersambung dengan kabinet untuk menyimpan barang peribadi.
RAK kecil bersambung dengan kabinet untuk menyimpan barang peribadi.

Kedudukan kabinet berkenaan membentuk huruf L yang membolehkan satu meja bulat dan dua bangku ditempatkan di dapur itu. Malah bangku warna kelabu sengaja dipilih supaya berpadanan dengan lantai dapur.

Satu unit rak kecil bersambung dengan kabinet kayu oak itu berhampiran pintu utama memudahkan pemilik menggantung kunci atau menyimpan barangan peribadi lain sejurus masuk ke dalam rumahnya.

Atelier berpendapat, dapur direkanya itu sesuatu yang mempunyai identiti dan beliau mahu mewujudkan satu hubungan baik antara ruang dan membawa karakter ke dalamnya.

RUANG penyimpanan terbina di sebalik dinding.
RUANG penyimpanan terbina di sebalik dinding.

Ini kerana pereka dalaman itu gemar mencipta ruang dapur dengan warna kontra yang menyerlah untuk pelanggannya.

Awal tahun ini pula pereka lain, Reform, mengubah suai kabinet biasa dari Ikea dan membentuk dapur dengan rona emas untuk ibu pejabat label fesyen, Stine Goya, di Copenhagen, Denmark.

Sementara itu, satu studio di London, Henning Stummel, turut mengubah keseluruhan ruang memasak satu kediaman di Shephard’s Bush dengan warna jingga, merujuk kepada besi fasad rumah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 4:01 AM