KOLEKSI baharu yang boleh didapati dalam rona mudah disuai padan dengan rona dinding.
KOLEKSI baharu yang boleh didapati dalam rona mudah disuai padan dengan rona dinding.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


RUMAH yang bersaiz kecil seperti pangsapuri studio kini semakin digemari golongan milenium dan Gen Z.

Selain lebih privasi, saiz rumah yang kecil juga dikatakan lebih mudah diurus.

Ia disesuaikan dengan perabot moden dan pelbagai fungsi bagi memaksimumkan penggunaan ruang terhad.

Untuk ruang dapur misalnya, kabinet tradisional bersaiz besar dan tidak praktikal dilihat kurang mendapat perhatian.

Menyedari keperluan itu, jenama kabinet modular, Cadula mengeluarkan set kabinet dapur gaya shaker modular terbaharunya direka dengan sempurna untuk ruang padat.

Ia didatangkan dalam tiga warna pastel lembut dan menenangkan iaitu 'green moss', 'pebble grey' dan 'blanche white.'

Ia secara tidak langsung meraikan gabungan alam semula jadi dalam rumah bandar.

Rona itu juga dipilih kerana ia mudah dipadankan dengan pelbagai warna dinding dan menambah ciri-ciri serba boleh untuk idea reka bentuk dalaman menarik.

Selain itu, kabinet moden berkenaan turut menggabungkan bahan kayu bukan toksik dengan konsep modular yang membolehkan anda mempunyai fleksibiliti penuh untuk menyesuaikan ruang rumah. Ia umpama menghidupkan kembali rumah impian anda.

Kabinet dapur itu boleh didapati dalam dua pilihan reka bentuk menarik dan semua pintu dilengkapi tombol pintu logam bercirikan kedesaan yang memberikan cengkaman selesa.

Untuk mencapai kemasan sempurna bagi semua kabinet pintu shakernya, ia juga menggunakan papan kayu melamin khusus dengan teknologi ketepatan berpaten bagi membolehkan pembuatan yang lebih konsisten dengan menekankan kualiti kayu.

Menurut Pengasas Bersama Kabinet Cadula, Samantha Lau, kabinet itu direka khas untuk memenuhi jangkaan pemilik rumah muda iaitu moden, bergaya, ringkas dan lebih penting mudah serta menjimatkan kos.

Ini kerana kata Samantha, penduduk di bandar hari ini menginginkan ruang kecil mudah diurus dan selesa didiami.

"Kami berharap dapat memberi pemilik rumah pengalaman interaktif yang menyeronokkan dan kebebasan kreatif untuk menghidupkan suasana rumah mereka dengan ruang simpanan bergaya, moden dan praktikal.

"Untuk itu, kami juga mengurangkan manual arahan yang rumit dan menjadikan kabinet itu mudah dipasang," katanya.

Dalam pada itu, kabinet jenis modular mula mendapat perhatian pada awal 1970-an dan dengan fungsi serba boleh.

Ia juga direka khas untuk melengkapi dan mengadaptasi perubahan gaya hidup di bandar.

Diinspirasikan oleh konsep set blok bangunan, kabinet modular terdiri daripada unit prabuatan berasingan yang setiap satunya boleh dipasang dengan mudah, ditanggalkan dan disusun semula supaya sesuai dengan kawasan sempit.

Sifatnya fleksibel bukan sahaja menjadikan gaya kabinet jenis itu sesuai untuk isi rumah lebih kecil, malah sesuai untuk penyewa yang mungkin perlu membawa perabot bersama-sama apabila berpindah.

Selain penyelenggaraan yang rendah dan mudah dibersihkan, sistem kabinet modular mudah dilipat membolehkannya digunakan dalam pelbagai ruang di luar dapur.

Sebagai contoh, kaunter dapur daripada set kabinet modular Cadula juga boleh ditukar kepada meja sisi katil di bilik tidur atau table top, sekali gus menambah nilai fungsi dan membawa unsur keseronokan dalam perancangan perabot.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 6:20 AM