AIRASIA melancarkan rekaan livery  baharu Airbus 320 yang memaparkan ikon pelancongan Asean sempena sambutan Hari Asean ke-52 di Bangkok.
AIRASIA melancarkan rekaan livery baharu Airbus 320 yang memaparkan ikon pelancongan Asean sempena sambutan Hari Asean ke-52 di Bangkok.
Sri Ayu Kartika Amri


AirAsia dijangka akan terbang semula ke Eropah menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya akan memulakan penerbangan ke Eropah menjelang akhir tahun ini atau awal 2020.

“Ya, kami akan terbang semula ke Eropah dan laluan itu akan dikendalikan oleh AirAsia Thailand.

“Bagaimanapun, AirAsia hanya akan terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang Bangkok,” katanya selepas pelancaran rekaan livery (lukisan pada badan pesawat) baharu Airbus 320 sempena sambutan Hari Asean ke-52 di sini.

Hadir sama, Penasihat Kementerian Luar Thailand, Vijavat Isarabhakdi dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Asean merangkap Kementerian Luar Thailand, Dr Suriya Chindawonogse.

Bagaimanapun, Tony enggan mendedahkan lebih lanjut ketika ditanya mengenai destinasi pertama laluan ke Eropah terbabit.

Beliau berkata, perbincangan masih dijalankan dan pihaknya memilih Bangkok untuk laluan ke Eropah berikutan kemudahan yang tersedia lebih baik dan kos yang berpatutan.

“Perbincangan masih dijalankan dan kami memilih Bangkok untuk laluan Eropah kerana kemudahan infrastruktur di sini yang lebih menyokong,” katanya.

Sebelum ini AirAsia pernah terbang ke London sebelum menghentikan laluan terbabit pada 2012.

Dalam kenyataan berasingan, AirAsia menerima pesawat A330neo pertamanya, yang akan beroperasi bagi syarikat bersekutu jarak jauhnya AirAsia X Thailand.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, pesawat itu diterima menerusi pemberi pajak Avolon dan menjadi antara dua set A330neo yang pertama untuk menyertai kumpulan pesawat syarikat penerbangan itu pada akhir tahun.

“Menerusi cirinya yang ekonomik, A330neo akan membawa perubahan dalam kecekapan bahan bakar bagi operasi jarak jauh AirAsia.

“A330neo generasi baharu itu akan ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang Bangkok di Thailand, bagi menyokong pertumbuhan dan rancangan peluasan rangkaian syarikat penerbangan ke pasaran utama seperti Australia, Jepun dan Korea Selatan,” katanya.

AirAsia berkata, A330-900 AirAsia X Thailand mempunyai 377 tempat duduk dalam konfigurasi dua kelas, terdiri 12 Premium Flatbed dan 365 tempat duduk kelas ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 7:41 AM