DARI kiri, Chai, Ketua Pegawai Eksekutif CGC Digital, Yushida Husin; Pengarah Fintech dan Ekonomi Digital Islam MDEC, Ruslena Ramli dan Wong  pada pelancaran produk terbaharu Funding Societies.
DARI kiri, Chai, Ketua Pegawai Eksekutif CGC Digital, Yushida Husin; Pengarah Fintech dan Ekonomi Digital Islam MDEC, Ruslena Ramli dan Wong pada pelancaran produk terbaharu Funding Societies.
Nur Ilyanie Hanisha Hisham


PLATFORM kewangan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Funding Societies menyasarkan mengeluarkan sekurang-kurangnya 50 peratus agihannya terdiri daripada pembiayaan patuh syariah menjelang 2025.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Funding Societies, Wong Kah Meng berkata, kemudahan kredit amat penting bagi pembangunan dan perkembangan PKS secara inklusif dan mampan

"Jurang pembiayaan PKS sedia ada di Malaysia kini berjumlah RM90 bilion, oleh itu, platform ini memainkan peranan penting bagi merapatkan jurang berkenaan.

"Dengan pelancaran produk terbaharu ini, kami meletakkan sasaran untuk mengagihkan sekurang-kurangnya separuh daripada peratusan agihan daripada pembiayaan patuh syariah," katanya pada majlis pelancaran produk pembiayaan patuh syariah Funding Socities di sini, semalam.

Produk berkenaan merangkumi Pembiayaan Perniagaan-i, Pembiayaan Mikro-i, dan Pembiayaan Invois-i.

Ketua Negara Funding Societies Malaysia Chai Kien Poon berkata, PKS tulang belakang ekonomi dengan RM518.1 bilion disumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021.

"Pembiayaan ini bukan sahaja memfokuskan kepada peniaga Islam, tetapi terbuka kepada semua perusahaan dalam bidang PKS," katanya.

Katanya, berdasarkan maklum balas pasaran, terdapat permintaan terhadap pembiayaan kewangan patuh Syariah daripada usahawan.

"Kewangan Islam mendapat perhatian kerana penekanan ke atas keadilan dan ketelusan terutama bila membabitkan yuran dan caj.

"Selain itu, pengenalan Pembiayaan Islam kami adalah sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk terus menerajui kewangan Islam serta memberikan tumpuan kepada ekonomi digital dan Teknologi Kewangan (FinTech) Islam," katanya.

PKS yang berminat boleh membuat permohonan secara dalam talian dengan mudah, di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Menerusi pendekatan digital dan tanpa memerlukan sebarang jaminan Funding Societies turut menyediakan PKS pembiayaan pada kadar yang lebih cepat berbanding institusi kewangan tradisional.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 6:15 AM