KHAIRUL Azwan
KHAIRUL Azwan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Halal Development Corporation Bhd (HDC) membawa Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBC) 2023 ke London untuk memperkukuh penjenamaan halal Malaysia.

Bertemakan "Peluang Halal Dalam Dunia Tanpa Sempadan," acara ini adalah acara kedua yang diadakan di luar negara selepas penganjuran WHBC Melbourne pada 2022.

Pengerusinya Khairul Azwan Harun berkata penjenamaan halal Malaysia adalah kukuh dan diperakui oleh 84 badan pensijilan daripada 47 negara.

Sehubungan itu, menurutnya, terdapat keperluan untuk menganjurkan acara di luar Malaysia bagi memperkuat dan meluaskan penjenamaan halal negara.

"WHBC Circuit di London akan menumpukan kepada tiga teras iaitu promosi pelaburan, rundingan perdagangan dan mendorong bakat dengan kemahiran halal.

"Kami akan menangani cabaran industri yang mendesak untuk mendorong penciptaan kekayaan dan mempromosi peluang perniagaan halal dalam kalangan penggiat industri," katanya pada acara temu mesra WHBC 2023 di sini hari ini.

WHBC Circuit 2023, yang kini memasuki edisi ke-15 penganjurannya, akan turut menghimpunkan para penggiat menerusi satu siri inisiatif membabitkan pihak berkepentingan industri utama untuk mengekalkan momentum selepas acara itu.

Khairul Azwan berkata, pasaran halal dunia yang ketika ini dianggarkan kira-kira US$3 trilion akan meningkat kepada US$5 trilion pada 2030.

Bagi memanfaatkan pasaran yang luas dan menguntungkan ini, Malaysia telah bersedia untuk meningkatkan sumbangan ekonomi halalnya kepada RM230 bilion pada 2030 atau 10.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar berbanding RM60 bilion pada 2022.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata United Kingdom (UK) dan Malaysia mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan yang teguh yang terbina daripada pengiktirafan bersama.

Persidangan ini akan meneroka peluang kerjasama antara pelbagai sektor, termasuk makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, rantaian bekalan, perkhidmatan kewangan, teknologi serta sosial dan tadbir urus, katanya.

WHBC Circuit 2023 turut meninjau peluang untuk meluaskan diplomasi halal di luar negara dan mengulangi komitmen untuk memperkukuh ekosistem halal global, katanya.

HDC dalam kenyataan hari ini berkata, persidangan itu dijangka menarik penyertaan 500 peserta dari negara UK, Eropah, Malaysia, Singapura dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual merasmikan acara itu dan menyampaikan ucap tama.

Institut Latihan Halal HDC akan menganjurkan beberapa sesi untuk meningkatkan kesedaran berkenaan amalan halal dan mengemas kini proses pensijilan halal pada acara itu.

Selain itu, Program Lawatan Lapangan Industri Halal akan memudahkan pertukaran ilmu antara usahawan Malaysia dan rakan sealirannya di UK, kata HDC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 10:56 PM