MAKANAN dan minuman terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi halal Malaysia.
MAKANAN dan minuman terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi halal Malaysia.

INDUSTRI halal Malaysia diunjur berkembang kepada AS$113.2 bilion (RM500.17 bilion) menjelang 2030, dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1 peratus menjelang 2025 melalui Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kementerian komited untuk terus mempertingkatkan semua komponen ekosistem halal ke arah meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran halal global.

"Dalam mencapai objektif ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan agensinya telah mula berusaha untuk meletakkan industri ini sebagai sektor yang menguntungkan dan berdaya saing, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya sempena pelancaran HIMP 2030 di Dewan Rakyat, semalam.

HIMP 2030 telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Di bawah HIMP 2030, Tengku Zafrul berkata sebanyak 23 inisiatif telah dikenal pasti untuk menambat tujuh teras strategik dan memanfaatkan peluang serta menangani cabaran.

Teras strategik adalah mempertingkat dasar dan perundangan mesra halal; mewujudkan ruang pasaran baharu dan lebih besar untuk produk dan perkhidmatan halal Malaysia; mewujudkan kumpulan pakar dan profesional halal yang lebih besar untuk memenuhi keperluan global; dan meningkatkan kualiti dan pembangunan infrastruktur bersepadu.

Ia juga terdiri daripada memupuk kepimpinan pemikiran; melahirkan lebih ramai juara halal tempatan; serta memudahkan penyertaan Bumiputera yang lebih berdaya saing dalam industri halal.

"Miti berbesar hati menjadi pemacu strategik untuk HIMP 2030, dengan sokongan pelaksanaan yang kukuh oleh agensi kami, Perbadanan Pembangunan Halal (HDC)," katanya.

Menurutnya, salah satu keutamaan Miti untuk 2023 adalah untuk mengembangkan perdagangan, di mana barangan dan perkhidmatan halal boleh memainkan peranan yang lebih menonjol.

"HIMP 2030 akan dipacu lima hasil sasaran utama, termasuk mempunyai industri halal domestik teguh dan pelbagai; menawarkan pematuhan Syariah menyeluruh; meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di Malaysia; mempunyai ekosistem perniagaan yang kompetitif; dan mempromosikan 'Halal Malaysia' di peringkat global," katanya.

Menurut kementerian itu, eksport halal Malaysia meneruskan trajektori pertumbuhannya pada 2022 dengan jumlah nilai eksport halal RM59.46 bilion, meningkat RM23.16 bilion atau 63.8 peratus daripada tahun sebelumnya.

Dari segi sumbangan sektoral, ia berkata makanan dan minuman terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi halal Malaysia dengan nilai eksport RM27.84 bilion, mewakili 46.8 peratus daripada jumlah eksport halal Malaysia.

"Penyumbang kedua terbesar ialah bahan-bahan halal, yang turut mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 73.1 peratus daripada 2021 kepada RM23.35 bilion atau 39.3 peratus daripada jumlah eksport halal," kata Miti.

Sementara itu, sektor kosmetik dan penjagaan diri kekal sebagai penyumbang ketiga terbesar dengan jumlah nilai eksport halal RM3.49 bilion, meningkat 43.5 peratus daripada 2021.

Derivatif minyak sawit berkembang 63.6 peratus daripada 2021 kepada RM2.79 bilion, mewakili 4.7 peratus peratus eksport halal.

"Sektor kimia industri meningkat 69.7 peratus daripada 2021 kepada RM1.27 bilion, manakala farmaseutikal mencatatkan pertumbuhan tertinggi dengan peningkatan 156.7 peratus daripada 2021, menyumbang 1.2 peratus daripada jumlah eksport halal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 7:20 AM